Jalak Lenteng

Jalak Lenteng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nun jauh di tengah belantara. Di puncak bukit yang penuh siulan burung-burung pagi bernyanyi riang. Dari jauh kelihatan Bukit Setangga berbalam-balam diselimuti kabus putih kelabu. Sejuk dingin melatari hutan kelapa sawit terhampar luas di kaki bukit.

Sesekali, Jalak Lenteng melompat tinggi berpusing badan menghunus taji tajam ke arah musuh yang sedang berani mencabar keperkasaannya.

Juara yang disandang berlipat kali sejak setahun lalu. Bulu tengkuk merah oren diremang seperti payung tiga suku terbuka, dengan kepak kelabu berbintik putih melibas tengkuk lawan. Lawannya tidak mampu bertahan. Berlari, memusing-musing di dalam gelanggang bulat yang dipagari bekas guni baja. Pokok-pokok kelapa sawit matang melebihi suku abad, meredupi tapak gelanggang.

Hampir pukul 11 pagi, Seman melangkah pulang meninggalkan gelanggang sabung dengan langkah panglima. Seolah-olah telah berjaya merebahkan musuh tarungnya. Dicapai basikal tua yang banyak berjasa, sambil mengelek Sang Jalak di dalam raga sabung. Secekak duit kertas disumbat ke dalam poket kanan.

Nanti, sampai di rumah, baru dihitung. Jangan di situ! Ramai yang berpeluh dahi melihat cekakan duit yang sebegitu banyak.

Sementara di gelanggang sabung, Pak Moin masih mengomel bersama seorang dua lagi. Tidak jelas kedengaran. Namun, sayup-sayup terdengar keluhan; “Sekali lagi kamu tewas, golok ini akan sampai ke lehermu. Tuihhh!!!” Meludah ayam jaguhnya yang baru tewas kepada Jalak. Beberapa keping duit kertas merahnya melayang. Begitu juga dengan penyabung-penyabung lain.

***************

Sinaran mentari condong datang bersama bayu dingin daripada celah-celah hutan kelapa sawit dan pohonan rendang. Sudah petang rupanya, yang sebentar singgah, melengkap hari. Petang mengesot perlahan untuk pulang dan malam pula akan berganti. Rutin alami pusingan cakerawala di jalur orbit.

Sambil berjuntai kaki di pelenggar beranda, Seman meneguk kopi ‘O’ panas, bersama ubi rebus cicah gula enau. Juadah petang yang dihidang isterinya, Sutinah, Isteri yang dinikahi 18 tahun lalu. Orang kampung memanggilnya, Suti. Seman lelaki miskin ketika itu, tak punya harta, hatta seurat emas sekalipun. Tapi, Suti sanggup menuruni lembah kedana kerana sayang dan simpati atas pujuk rayu yang tak terhitung kalinya. Pujukan di celah-celah lorong kelapa sawit.

Seman ketika itu bekerja mengambil upah memungut dan mengangkat buah kelapa sawit. Dia juga bekerja sebagai buruh kontrak untuk menambah pendapatan.

Suti pula, sudah lima tahun bekerja memangkas dan menyusun pelepah sawit, di tempat Seman bekerja. Dia datang dari tanah seberang.

Dia mendapat permit bekerja setelah melalui proses pemutihan.

Sutinah asalnya seorang mahasiswa filsafat. Namun, tidak selesai kuliah kerana beban hidup menuntut pengorbanan. Keberuntungan hidup yang tidak memihak, memaksa Sutinah menjadi tunggak utama mencari nafkah. Bapanya meninggalkan keluarga dan hilang bersama kabus pagi entah ke mana. Sutinah meninggalkan kuliah dan cita-cita tak terlangsai. Ibarat bendera separuh tiang yang tak meluncur hingga ke atas.

Mata bertemu saling memandang. Dalam hati rasa bergoncang, kerana cinta jua yang datang, jantung disambar degupan berpalu. Lidah

Seman menghambur kata-kata asmara. Lancar, persis sang politikus yang belum memenangi kerusi. Bilah-bilah sawit terkelu, tunduk menjadi saksi. Pekaka di hutan bersuara nyaring kerana hujan tidak turun. Semuanya seakan merestui pautan kasih dua sejoli berlainan negara.

Akhirnya, mereka bersatu di pelamin berhias. Maka, penyatuan itu, membenihkan seorang anak lelaki, Badin dan adiknya Sunarni.

“Minumlah, bersama. Mana secawan lagi?” Tegur Seman, setelah melihat Suti, memandang sayu ke arah bukit. Tidak minum bersama seperti lazimnya. Di kelopak matanya, bergantungan manik jernih. Memenuhi kolam mata, yang sebentar lagi akan tumpah. Pandangan kosong ke arah jauh yang tak membalut sebarang erti.

Suti mengalih pandangan, tunduk. Satu tanda jelas, reaksi kecewa, tertekan bagi seseorang yang telah berkorban, berenang di lembah kemiskinan.

“Entahlah bang.” Mulutnya terketar dalam mengumpul seribu jawaban.

“Abang tinggallah pekerjaan menyabung ayam tu.” Seman terdiam. Cawan yang sudah menghampiri bibir, diletak kembali ke lantai piring.

“Mana ada lagi pekerjaan berat yang mampu, aku buat,” keluh Seman, hampir-hampir tidak kedengaran.

Suti memahami keadaan suaminya sekarang. Tangan kanan Seman cacat setelah ditimpa kayu besar semasa menjadi buruh kontrak, setahun lalu. Semua itu memerlukan kudrat dan kekuatan tangan untuk bekerja. Tetapi itu yang tiada. Sirna, bersama tragedi yang meragut tangan kanannya.

“Barangkali, kalau tidak berlaku celaka, aku boleh lagi mengambil upah mengangkat buah kelapa sawit.”

“Aku tidak mahu kehilanganmu,” lanjut Suti dengan nada perlahan.

“Kenapa? Aku takkan hilang dari hidupmu.”

“Aku takut…, kau ditangkap polis, bersama Pak Moin dan rakan-rakan. Yaa…, kerana menyabung ayam. Judi tu, bang. Salah, tu. Bukan saja salah, tapi berdosa di sisi agama. Duit itu yang kita beri makan anak-anak kita.”

Seman bagaikan tidak terucap untuk membalas kata-kata isterinya.

“Biar kita sama-sama karam. Biar hanyut badan ke laut, asalkan sebiduk denganmu, bang. Kutinggalkan negeri dan desa, untuk berenang menempuh alun bersamamu. Bersama anak-anak kita.”

Di luar, angin bertiup kencang, membawa suara daun bergoyang.

“Berundinglah dengan kata hatimu. Jalan mana harus dipilih. Ke kiri atau ke kanan. Di kiri, api yang sedang membakar. Di kanan, ada sungai mengalir. Airnya dari susu dan madu,” lanjut Sutinah lagi. Seman terkelu. Matanya tanpa berkelip, memandang Sutinah.

“Setiap kali aku menelan makanan, bagaikan tersendat di kerongkongan,” sindir Sutinah lagi.
“Dan aku memandang wajah anak-anak kita yang sedang menyuap makanan.” Sekali lagi, tikaman belati tajam, menusuk jantung Seman.

***************

Pagi datang lagi, di bawah langit yang masih kelam. Seman sudah bangun dan bersiap-siap untuk rutin mencari habuan seperti selalu.

Sambil melangkah turun dari beranda, dia sempat menegur Suti;

“ Ini hari terakhir aku menyabung ayam. Semoga hasilnya lumayan. Dengan untung hari ini, kita akan mulakan pekerjaan baru. Berniaga kecil-kecilan,” ucap Seman.

“Tak perlu modal daripada abang. Saya ada sedikit simpanan. Kita berniaga jahitan semula. Mesin jahit pun masih elok lagi. Dengan hasil pendapatan nanti, bolehlah kita jelaskan yuran persekolahan Badin yang lama tertunggak,” ucap Suti. Badin sudah di tingkatan lima.

Adiknya, Sunani baru masuk darjah satu.

Seman tidak menjawab. Dia tergesa-gesa ke belakang rumah, tempat dia mengurung Jalak Lenteng. Tiba-tiba, jantungnya berdegup kencang. Seakan, mahu tercampak keluar dari badan.

“Suti…, Jalak sudah tiada !!!” Teriak Seman dari belakang rumah.

“Apa bang!!!” Suti terkejut. Terburu-buru, turut berlari ke belakang rumah.

“Sangkarnya sudah terkopak di bahagian bawah. Pintunya, tidak terusik,” ucap Seman, sebak.

“Lihat! Bulu-bulu Jalak bertaburan di atas rumput hingga ke hutan, di belakang rumah kita,” balas Suti.
“Ya, dahulu pun ayam serama abang dibawa ke hutan itu juga. Ini semua kerja musang atau biawak yang banyak di hutan,” kata Seman.

Seman melalui hari-hari berikutnya dengan muram. Berdiam diri dan membisu seribu bahasa. Di hadapannya, daun-daun di pohon kelihatan seakan-akan putih. Tidak menghijau lagi. Ada saja mimpi-mimpi ngeri menghambat diri. Sudah dua minggu, penyepian diri bergulat menghimpit Seman.

“Usah sedih sangat, bang. Nanti, abang juga sakit. Jangan fikir berterusan. Simpan sejenak masalahmu. Saya akan mula menjahit pakaian.

Nanti, akan ada pekerjaan baru untuk abang,” nasihat Suti.

Seman masih berdiam, tanpa menoleh ke arah Sutinah.

“Kita menderita lebih banyak dalam fikiran daripada kenyataan. Nanti, carilah kerja yang boleh, abang buat. Tak perlu kerja berat,” kata Suti.

“Abang pergilah ke kedai. Belilah sedikit ikan dan sayur. Simpanan makanan kita sudah habis,” kata Suti. “Ini ada sedikit wang saya simpan.”

Dengan penuh lesu, Seman masih tersandar di situ. Kesan tekanan perasaan, melemahkan seluruh anggota. Absurditas hidup. Hampir pukul 11 pagi baru Seman bergerak mencapai basikal tuanya untuk ke kedai di hujung kampung. Di situ, ada jualan sayur dan ikan segar.

Hampir tengah hari, baru Seman bergerak pulang. Dia membawa sedikit sayur dan ikan di pelantar basikal. Basikal yang mud guard hadapan sudah terkopak.

Sampai di simpang jalan yang menjadi laluan ke tempat gelanggang menyabung ayam, Seman berhenti sejenak. Lama juga dia tercegat di situ. Fikirannya berselirat.

“Aku akan bertemu mereka untuk kali terakhir. Kalau boleh, nak minta maaf. Banyak duit mereka, terperosok ke poketku. Hmmm…, hebatnya kau Jalak,” bisik Seman seorang diri. “Tapi…, sayang…, kau sudah dibaham musang.”

Seman mengayuh perlahan. Dari jauh menyandarkan basikalnya di batang kelapa sawit tua tidak berdaun. Dia menapak perlahan ke arah gelanggang. Dari jauh, tampak dua ekor ayam sabung sedang bertarung. Melambung tinggi di udara. Pak Moin pula sedang berdiri di dalam gelanggang.

Seman terhenti langkah dengan terketar-ketar. “Hoiii… Itu Jalak Lenteng !!!” Jerkah Seman dengan suara nyaring dari jauh. “Aku kenal, itu ayam aku.”

Semua orang terkejut dan terdiam. Seman mengenali Jalak Lenteng dari bulu tengkuk dan sayap Jalak yang berwarna kelabu berbintik putih.

Pak Moin meluru ke tengah gelanggang. Pak Moin menangkap Jalak Lenteng. Begitu juga dengan seorang lagi lawan tarungnya.

Perlawanan dihentikan.

“Itu ayam aku, Pak Moin!” Jerit Seman lagi seperti kerasukan.

“Sabar…Sabar! Biar aku terangkan,” balas Pak Moin, tercungap-cungap. Menahan nafas.

“Sejak bila kau curi ayam aku. Aku ingat, musang yang baham!” Ucap Seman lagi dengan nada geram, yang sedikit perlahan. Tidak menjerit lagi.

Semua penyabung dan penonton mula beredar. Ada yang masih menunggu – memerhatikan jika terjadi perkara-perkara buruk. Kemarahan itu seperti api, semarak membakar. Di pinggang Pak Moin, tersisip golok. Semoga tidak terjadi sengketa. Melihat golok di pinggang Pak Moin, Seman tidak lagi meninggikan suara.

“Begini, Seman… Jalak Lenteng dibawa ke rumah aku dan dijual oleh Badin, anakmu. Katanya, kamu yang suruh jual,” terang Pak Moin.

“Apaa… Badin yang jual!!!”

“Yaa…, katanya dia perlukan duit untuk membayar yuran sekolah. Sudah tertunggak. Dia malu dengan guru dan rakan-rakan. Katanya, sudah mencecah RM280.”

Tiba-tiba lutut dan kaki Seman lemah longlai. Dia terduduk di tempat berdirinya. Bumi seakan bergoyang. Langit gelap.

“Aku sudah beri Badin RM400. Ada baki lagi RM200 dan akan kuberi padamu,” kata Pak Moin.

Setelah agak tenang, maka Seman pun fahamlah hakikat dan kejadian yang berlaku. Seman bersalam dengan Pak Moin dan semua rakan-rakan di situ. Dia menolak basikal tuanya. Mengayuh pulang dengan perasaan lelah, berselimut malu.
Di pertengahan jalan, sayup-sayup kedengaran suara azan Zuhur, berkumandang dari corong surau di kampung mereka. Seman membelok basikalnya ke arah surau. Sudah lama dia tidak menjengah surau.
Di luar, cahaya kembali terang. Langit cerah, tidak berawan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×