‘RIBUT’ yang melanda pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah tidak dapat disorok lagi apabila ramai perwakilan menyebut terdapat pertembungan antara dua kem melibatkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan juga Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Ia tercetus apabila Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menangguhkan keputusan pemilihan parti di peringkat sayap selama dua hari dan keputusan yang ‘mengejutkan’ itu diumum dengan menamakan ADUN Gombak Setia, Mohamad Hilman Idham sebagai Ketua Armada yang baharu, menewaskan Akmal Zahin Zainal.
Ramai perwakilan yang mempersoalkan keputusan itu, bagaimana Akmal Zahin boleh tewas sedangkan undi lebih banyak diperoleh berbanding Muhamad Hilman, sekali gus keadaan itu menyebabkan sebanyak 27 bantahan dibuat perwakilan dan dikemukakan kepada JPP.
Tidak pasti sahih atau pun tidak, namun ada yang mendakwa ‘kekecohan’ ini melibatkan campur tangan daripada pemimpin tertentu yang mampu mengubah keputusan asal.
Malah terdapat juga cakap-cakap perwakilan yang ‘pemimpin itu’ cuba mengukuhkan kedudukannya dengan menyusun barisan kepimpinan di peringkat sayap supaya cenderung kepadanya meskipun tamat penggal 2027.
Secara dasar, peranan Ketua Armada ini perlu dilihat sebagai ‘panglima’ bagi mempertahankan institusi Presiden dan parti itu sendiri. Peranan itu juga bukan dilihat sekadar membuat laporan polis dan membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Namun, ia perlu ada kekuatan daripada Ketua Armada itu sendiri untuk menjaga maruah parti dari serangan musuh. Jadi, mungkin atas dasar itu Muhammad Hilman menjadi pilihan, di samping mengukuhkan kedudukan ‘pemimpin itu’ untuk terus berada di tampuk kepimpinan kini, ibaratnya sambil menyelam minum air.
Muhammad Hilman dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, Armada akan tampil dengan ‘imej baharu’ dan memberi fokus utama memperkukuh pergerakan itu selain memberdaya jentera parti bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Selain itu, pihaknya juga memberi jaminan pergerakan itu akan kembali memaknai peranan besarnya sebagai platform bagi perjuangan anak muda.
Namun begitu, usaha Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari peringkat awal dengan menamakan beberapa orang individu, bertujuan melihat parti tidak berpecah boleh dikira ‘tidak berjaya’ apabila perwakilan mulai menunjukkan yang mereka cenderung kepada kem Muhammad Hilman yang merupakan ‘orang’ Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sementara Akmal Zahin pun merupakan ‘orang’ Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal, yang cenderung kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Berdasarkan perlembagaan parti di bawah fasal 14.9 menyebut JPP Bersatu Malaysia berperanan dalam menentukan peraturan untuk melaksanakan, mengawal dan menyelia pemilihan jawatan-jawatan tertinggi Parti yang dipilih di dalam semua peringkat Persidangan Bahagian termasuk Sayap-sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu.
Meskipun peranan JPP tidak setaraf Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peranannya adalah sama iaitu membuat pengiraan secara adil dan telus, seterusnya mengumumkan calon yang menang untuk berada dalam barisan kepimpinan.
Namun, ‘ribut’ yang berlaku dalam pemilihan ini menimbulkan pelbagai persoalan daripada perwakilan, adakah JPP tidak bertindak neutral apabila terdapat pihak tertentu cuba mengubah keputusan di peringkat sayap? Dan adakah hanya calon yang berada dalam ‘senarai’ Presiden sahaja akan menang?
Jadi, JPP perlu memastikan ‘kekecohan’ yang berlaku ketika pemilihan Armada dan Srikandi Muda tidak berulang dalam pemilihan hari ini. – UTUSAN










