KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil pendekatan ‘didik dan perbetul’ bagi memastikan tempoh peralihan kepada e-Inovis dapat dilaksanakan secara lebih fleksibel.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan mengambil maklum proses mengadaptasi e-Invois memerlukan tempoh masa yang panjang.
Katanya, ia berikutan cabaran dan kekangan dihadapi terutama bagi penjaja seperti peniaga pisang goreng, gerai tepi jalan atau perniagaan dari rumah ke rumah.
“Buat masa ini peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM150,000 tidak perlu mengeluarkan e-Invois.
“Namun, kerajaan menggalakkan penglibatan peniaga kecil dalam inisiatif e-Invois selaras dengan aspirasi negara ke arah pendigitalan perniagaan.
“Kerajaan akan terus komited untuk membantu semua syarikat termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan peniaga kecil sepanjang tempoh peralihan dalam melaksanakan e-Invois sepenuhnya,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta perincian usaha kerajaan untuk menjelaskan dan membantu para pengusaha PKS dalam pelaksanaan e-Invois serta kaedah kawalan kos penyelenggaraan sistem tersebut.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan melaksanakan penggunaan e-Invois secara berperingkat berdasarkan nilai ambang hasil jualan perniagaan mulai Ogos depan.
Selain itu, semua perniagaan termasuk PMKS akan diwajibkan untuk mengeluarkan e-Invois menjelang 1 Julai tahun depan.
Amir Hamzah berkata, pelaksanaan e-Invois merupakan suatu mekanisme pelaporan hasil
jualan dan perkhidmatan kepada pentadbir cukai bagi tujuan meningkatkan tahap pematuhan cukai seterusnya membantu kerajaan dalam menangani isu ekonomi bayangan.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan bersetuju membenarkan PMKS mengeluarkan e-Invois yang disatukan iaitu yang menggabungkan semua transaksi jualan setiap bulan dan hanya perlu dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam tempoh tujuh hari pertama dalam bulan berikutnya.
Katanya, ini kerana kerajaan sedar cabaran akan dihadapi PMKS dalam mengadaptasi e-Invois terutama peningkatan kos operasi, penerapan teknologi dan jurang kesediaan pengetahuan berkenaan e-Invois.
“Bagi membantu memudahkan PMKS dan terdapat dua kaedah penghantaran invois kepada LHDN. Pertama, penghantaran data melalui portal MyInvois dan Sistem Point of Sales (POS). Penggunaan portal MyInvois tidak melibatkan kos tambahan kepada PMKS kerana ia boleh diakses dan digunakan secara percuma.
“Seterusnya integrasi sistem perakaunan perniagaan dengan sistem MyInvois. Peniaga yang memilih untuk membangunkan sistem sendiri atau menggunakan pembekal teknologi, insentif cukai disediakan.
“Ia melibatkan pengurangan tempoh tuntutan elaun modal daripada empat kepada tiga tahun bagi pembelian peralatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan pakej perisian komputer berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2024 dan potongan cukai sehingga RM50,000 bagi setiap tahun taksiran bagi perbelanjaan yuran perundingan yang ditanggung PMKS mulai tahun taksiran 2024 sehingga 2027,” katanya. – UTUSAN










