KOTA KINABALU: Ketua Staf Bahagian Operasi Darat Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Datuk M. Chandra disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan jenazah mendiang dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas untuk tujuan bedah siasat.
“Saya tidak dapat memberikan masa kematian sebenar kerana saya masih menerima mesej terakhirnya pukul 5.18 pagi ini.
“Pihak HWKKS Likas hanya memaklumkan mendiang sudah meninggal dunia pada pukul 8 lebih hari ini,” katanya.
Beliau berkata, punca kematian belum dapat dipastikan dan mendiang kini sedang berada di hospital untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar.
Menurut Jauteh, selepas proses bedah siasat selesai, jenazah mendiang dijangka dibawa ke Wisma Fook Lu Siew bagi upacara memperingati dan penghormatan terakhir.
Katanya, kehilangan mendiang sangat besar dan dirasai seluruh warga Sabah atas khidmat baktinya dalam menjaga keselamatan Sabah sepanjang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 29 tahun.
Mendiang Chandra mula berkhidmat pada 1994 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu selama empat tahun dari 2014 hingga 2018. – UTUSAN










