PETALING JAYA: Konglomerat bumiputera, Widad Business Group (WBG) bekerjasama dengan industri pertahanan Korea Selatan dan Turkiye sebagai usaha mengembangkan lagi perniagaan mereka dalam bidang pembekalan peralatan pertahanan di Malaysia.
WBG telah menandatanani perjanjian kerjasama dengan syarikat teknologi Korea Selatan yang berpengalaman di bidang aero-angkasa dan peralatan pertahanan moden, Hanwha Aerospace dan syarikat dari Turkiye, iaitu Havelsan Hava Elektronik Sanayi ve Ticaret AS yang merupakan salah satu pembangun sistem ketenteraan terbesar di negara tersebut.
Kedua-dua perjanjian dengan pemain industri pertahanan luar negara itu ditandatangani semasa Pameran Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC ASIA) 2024.
Pengerusi Eksekutif WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah berkata, kerjasama tersebut diyakini dapat meningkatkan potensi inovasi serta menambah baik keupayaan pertahanan negara apabila dilaksanakan nanti.
Kerjasama dengan syarikat dari Korea Selatan itu melibatkan cadangan integrasi kepakaran bagi pembuatan dan pembekalan Sistem Pelancar Roket Berganda (MLRS) model K239 Chunmoo kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, sistem kendalian artileri bergerak (self-propelled artillery) itu boleh memuatkan dan meluncurkan dua jenis roket berbeza di dalam kelongsong isian roket pada masa yang sama.
Ujarnya, sistem itu yang digunakan angkatan tentera di Korea Selatan, Poland dan beberapa negara Timur Tengah mempunyai keupayaan peluncuran roket bersaiz 130mm dan 239mm dengan jarak tembakan di antara 36 hingga 80 kilometer.
“K239 Chunmoo juga berkeupayaan untuk meluncurkan 290mm misil balistik ke sasaran sejauh 290 kilometer, memberikan keupayaan tembakan pelbagai misi kepada end-user.
“Ujian tembakan roket jenis CTM-290 sistem Chunmoo varian negara Poland yang dikenali sebagai Homar-K telah membuktikan keupayaan system MLRS ini dengan kendalian pantas bagi pengisian roket-roket di bawah jangka masa lima minit, ketepatan sasaran serta kecekapan mobiliti taktikal.
“Keupayaan MLRS Chunmoo ini berpotensi memberikan solusi dalam menambah baik keupayaan tembakan jarak jauh kepada Rejimen Artileri DiRaja, Tentera Darat Malaysia, sekiranya dimobilisasikan oleh ATM,” katanya.
Dalam pada itu, kerjasama dengan Havelsan Hava Elektronik Sanayi ve Ticaret AS membabitkan kerjasama dalam mengenalpasti dan membangunkan Simulator Latihan Tembakan Bersenjata (Weapon Training Shooting Simulator) atau dikenali sebagai WeTSS.
“Kedua-dua pihak, secara bersama akan mengkaji jenis-jenis persenjataan serta latihan-latihan bersesuaian yang boleh digunakan oleh ATM serta lain-lain agensi-agensi penguatkuasaan bagi membangunkan fasiliti serta modul latihan simulator berteknologi tinggi dalam negara.
“WeTSS akan memberikan keupayaan latihan menggunakan senjata sebenar tanpa peluru hidup melalui simulasi tembakan seperti di dalam situasi sebenar.
“Program serta fasiliti simulator latihan WeTSS ini berpotensi untuk meningkatkan inovasi teknologi di dalam sistem pertahanan negara di samping menambah baik keupayaan latihan tembakan kepada anggota-anggota keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN









