Saifuddin nafi pengurusan tertinggi FAM bakal jadi sasaran selepas insiden Faisal

Saifuddin nafi pengurusan tertinggi FAM bakal jadi sasaran selepas insiden Faisal

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal menjadi sasaran serangan selepas insiden pemain Harimau Malaya, Muhammad Faisal Abdul Halim yang disimbah asid.

Saifuddin sebaliknya hanya memaklumkan akan berjumpa dengan Faisal yang kini kes jenayah berkenaan dalam siasatan polis.

“Tidak…(sasaran pengurusan FAM). saya cuma nak pergi jumpa faisal sahaja kejap lagi,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri Madani Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Terdahulu, polis sedang mengenal pasti pemilik media sosial dikenali Muhammad Imran Suresh susulan kenyataannya mengenai kejadian simbah asid membabitkan tonggak skuad Selangor FC itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu berkenaan mendakwa mempunyai maklumat berkaitan kejadian yang menimpa Faisal.

Individu tersebut, menggunakan nama Imran Suresh, menerusi akaun instagramnya mendakwa selain pemain-pemain bola kebangsaan, beberapa orang berjawatan dalam persatuan itu bakal menerima nasib yang sama.

Individu itu bagaimanapun tidak memberitahu motif serangan terhadap pemain bola sepak kebangsaan dan pengurusan FAM.

Muhammad Imran mendakwa dia telah dipanggil polis bagi membantu siasatan kes melibatkan Faisal.

Pemilik akaun media sosial itu mendakwa mempunyai maklumat dan diminta menutup mulut mendedahkan mengenai kejadian sebenar yang menimpa pemain berkenaan selain mendakwa pengurusan tertinggi FAM bakal menjadi sasaran serangan selepas ini.

Dalam minggu ini, tiga kali negara dikejutkan dengan serangan jenayah terhadap tiga orang pemain bola sepak kebangsaan iaitu Akhyar Rashid, Faisal Halim dan terbaharu Safiq Rahim.

Kesemua mereka diserang selang dua hari dari kejadian masing-masing.

Bermula dengan serangan samun ke atas pemain pasukan Terengganu FC (TFC), Akhyar, 25, pada Khamis lalu oleh dua individu tidak dikenali, berhampiran sebuah kondominium di Kuala Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa yang juga pemain bola sepak kebangsaan berusia 25 tahun cedera di kepala, kaki kiri dan lengan kiri selain menanggung kerugian hampir RM5,000.

Dua hari kemudian, pada 5 Mei, arena bola sepak tempatan sekali lagi dikejutkan dengan insiden bintang Selangor FC, Faisal, 26, yang mengalami kelecuran tahap empat akibat disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah.

Keadaan kesihatan tonggak Harimau Malaya itu semakin membimbangkan apabila dikatakan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta, di Shah Alam kelmarin.

Belum sempat reda isu Akhyar dan Faisal, seorang lagi pemain bola sepak kebangsaan dilaporkan diserang individu tidak dikenali, malam tadi.

Menurut sumber, pemain bola sepak bagu pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Safiq, 37, didatangi dua lelaki menaiki motosikal selepas mengambil barang di Pusat Latihan JDT Sri Gelam, Johor Bahru, Johor, kira-kira pukul 10 malam tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN