PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyeru semua pihak menyemarakkan amalan berwakaf melalui myWaqafPTPTN.
Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, sokongan semua pihak berkepentingan, rakan-rakan strategik dan para pelanggan diseru bagi meningkatkan inisiatif itu.
“Paling menarik, setiap sumbangan kepada myWaqafPTPTN layak mendapat potongan cukai 10% daripada pendapatan agregat di bawah Subseksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya dalam kenyataan.
PTPTN hari ini meraikan pelanggannya bersempena Majlis Mesra Bersama Pelanggan 2024 di sebuah hotel di ibu negara.
Dalam majlis sama, PTPTN turut menerima sumbangan untuk myWaqafPTPTN daripada syarikat korporat iaitu UOB Islamic Asset Management Sdn Bhd, Saturna Sdn Bhd, Uda Holdings Berhad, Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd, Ninja Logistics Sdn Bhd dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Mereka merupakan antara penyumbang terawal sejak myWaqafPTPTN dilancarkan pada 11 Mac 2024 lalu.
myWaqafPTPTN ialah dana wakaf pendidikan tinggi, hasil kerjasama PTPTN dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bagi mempelbagaikan sumber dana pembiayaan PTPTN selain melalui pinjaman sedia ada.
myWaqafPTPTN bertujuan membantu mahasiswa dalam bentuk biasiswa pendidikan tinggi yang akan mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman. 4. YBhg.
Dalam kenyataan sama, PTPTN mengalu-alukan semua pihak untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama yang lebih bersepadu bersama PTPTN dengan menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama untuk pemberian insentif dan sumbangan dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara.
Menurutnya, ia sekali gus akan membantu meningkatkan kesedaran budaya menabung bagi tujuan pendidikan tinggi.
Dalam pada itu, PTPTN turut meraikan pemenang bagi kempen Cabutan Siri WOW! Gong Xi Ang Pow.
Kempen itu merupakan cabutan siri pertama bagi Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 telah diadakan bermula 1 Januari sehingga 29 Februari tahun ini yang menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai berjumlah RM100,000.
Norliza berkata, melalui tabungan dalam Simpan SSPN, pelbagai manfaat dan keistimewaan disediakan kepada pendeposit.
“Antaranya, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin Kerajaan dan patuh syariah,” ujar beliau. – UTUSAN










