KUALA LUMPUR: Ahli keluarga mangsa pokok tumbang masih lagi tiada perancangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak dalam masa terdekat ini.
Adik Allahyarham, Allahyarham Md Rizal Atan, 47, Shahrizan Atan, 38, berkata, keluarganya masih perlukan masa untuk bertenang kerana masih terkejut dengan pemergian Allahyarham yang berlaku sekelip mata.
Menurut Shahrizan, sebarang keputusan mengenai tindakan seterusnya bakal dibuat oleh waris Allahyarham iaitu balunya.
“Buat masa ini, kami ingin selesaikan satu-satu urusan dahulu. Kemudian baru kami akan berbincang dengan ahli keluarga untuk tentukan sama ada hendak ambil tindakan atau tidak.
“Saya hanya ikut cakap waris (isteri Allahyarham). Jika dia hendak ambil tindakan, kami akan ambil. Jika dia reda, kami terima,” lkatanya ketika ditemui di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.
Menurut Shahrizan, buat masa sekarang, hanya pihak majikan sahaja yang telah menghubungi keluarga mangsa dan mengucapkan takziah.
“Kami sekeluarga sudah membuat laporan polis. Majikan pun sudah berhubung dengan isteri arwah.
“Namun pada masa sekarang, saya tidak pasti sama ada keluarga telah menerima sebarang sumbangan daripada majikan Allahyarham,” katanya.
Menurut Shahrizan, mereka sekeluarga masih lagi berasa ralat terhadap tragedi yang menimpa Allahyarham.
“Saya kecewa, saya lihat pokok yang tumbang semalam sangat uzur dan sepatutnya diselenggara, bukannya tunggu perkara yang sebegini barulah hendak ambil tindakan.
“Disebabkan tragedi ini, saya kehilangan abang saya sekelip mata,” ujarnya dalam keadaan sebak. – UTUSAN








