Isu nasional jadi beban utama kempen calon PH

Isu nasional jadi beban utama kempen calon PH

Bendera-bendera parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu mula dipasang bagi menghangatkan lagi suasana kempen semasa tinjauan di Kuala Kubu Bharu. UTUSAN/ M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU di peringkat nasional dilihat menjadi beban utama kepada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang menyukarkan pembinaan keyakinan kepada calon Pakatan Harapan (PH) umumnya, Kerajaan Perpaduan.

Situasi sedemikian dapat dinilai menerusi sentimen pe­ngundi yang berkira-kira untuk membuat pilihan pada awal sejak prapenamaan calon sebenarnya bukanlah perkauman.

Sebaliknya, ia adalah realiti yang dihadapi oleh rakyat secara keseluruhan berkaitan kos sara hidup, kenaikan tarif utiliti dan cukai turut memberi impak kepada penduduk di kawasan sub bandar khususnya di Kuala Kubu Baharu.

Ditambah lagi dengan cada­ngan kerajaan yang mahu me­laksanakan penjajaran semula subsidi melalui agihan secara bersasar menyebabkan sebahagian besar mereka bimbang tidak akan tergolong dalam kelompok yang menerima manfaat atau tercicir.

Justeru, keadaan itu menyebabkan hubungan dingin antara pengundi di Kuala Kubu Baharu dengan Kerajaan Persekutuan tercetus dan berisiko mengganggu matlamat kemenangan calon wakil mereka.

Perkara tersebut diakui sendiri jentera-jentera PH yang membantu calon mereka, Pang Sock Tao, apabila mendepani pengundi-pengundi waima dalam kawasan yang dikatakan memberikan sokongan kuat seperti di Rasa, Kerling dan Kuala Kubu Baharu itu sendiri.

Sehinggakan mereka beranggapan strategi pada pusingan kedua kempen perlu mengetengahkan kepemimpinan Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu meyakinkan pengundi.

Situasi tersebut juga diambil kesempatan oleh Perikatan Nasional (PN) sepanjang tujuh hari pertama kempen sehingga semalam dengan menyaksikan kepemimpinannya memperdengarkan asakan terhadap Kerajaan Persekutuan kepada para penyokong.

Bagaimanapun, PN harus ingat dan sedar isu tersebut tidak memberi peluang kepada mereka untuk meraih undi apabila pengundi menyedari kemenangan calon, Khairul Azhari Saut tidak mampu mengubah dasar meskipun dapat mengukuhkan jumlah pembangkang seramai 27 wakil rakyat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sela­ngor.

Mereka juga menyedari undian kepada PN hanya satu manifestasi atau isyarat suara rakyat kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri selain berdepan situasi masalah setempat yang lambat diselesaikan apabila politik lama masih lagi dimainkan oleh pemimpin negara.

Bagaimanapun dari sudut peluang kemenangan pula, PH perlu menyusun strategi mereka untuk merancakkan kempen mereka dan perlu memanfaatkan peluang bersama kerajaan negeri dengan membawa program atau dasar yang boleh diberikan kepada pengundi.

Sementara PN perlu memanfaatkan kekuatan mereka yang menubuhkan 12 portfolio yang menjadi jentera pada PRK. Malah, usaha tersebut dilihat mula membuahkan hasil berdasarkan culaan dan konsensus dilakukan parti itu apabila me­nunjukkan peningkatan soko­ngan khususnya dalam kala­ngan pengundi UMNO.

Pendedahan PN itu menunjukkan persepsi terhadap parti tersebut lebih ke hadapan berbanding UMNO yang enggan mendedahkan laporan terakhir mereka pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×