BATU PAHAT: Tiga pegawai dan seorang pembantu penguasa Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamin, Methdylenedioxy, Amphetamine dan Methdylenedioxymethamphetamine.
Tertuduh, Norazmi Mohd. Rashid, 40; Mohd. Ruduan Yahya @ Yahaya, 43; Salehudin Idres, 43 dan Mohamad Safiq Basman, 24, didakwa mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Bagaimanapun keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Mengikut pertuduhan, pada 28 April lalu antara pukul 6.40 hingga 7 pagi di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, tertuduh didapati menggunakan dadah jenis Amphetamin, Methdylenedioxy, Amphetamine dan Methdylenedioxymethamphetamine.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Mohd. Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias dan Naziha Abdul Rahim.
Pihak pendakwaan memohon dikenakan wang jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh namun, peguam bela merayu agar dikurangkan kepada RM2,000 hingga RM2,500 berdasarkan kepada gaji, tanggungan dan komitmen.
Mahkamah membenarkan wang ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh. Kes akan disebut semula bagi serahan dokumen dan pengurusan kes pada 26 Jun ini. – UTUSAN









