Apa sudah jadi dengan beras tempatan. Beberapa minggu lepas dibangkit isu kita ketiadaan beras atas sukar diperoleh di pasaran.
Yang ada hanyalah beras import. Ketiadaan beras tempatan di negara ini agak pelik kerana kita menanam padi. Semua pihak sebelum ini meluah rasa kehairanan ekoran masalah itu.
Sebelum ini, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Mohd. Fuad Yaacob pernah membangkitkan kemusykilan apabila masalah bekalan beras tempatan terus berlarutan seolah-olah ada pihak mensabotaj.
“Beras tempatan ni sebenarnya ada, bukan tidak ada sebab sekarang sudah musim menuai. Jadi ini mungkin disebabkan permainan pihak-pihak tertentu, mewujudkan tekanan-tekanan untuk kepentingan peribadi dan sebagainya.
“Bekalan beras tempatan yang sepatutnya ada tiba-tiba lenyap, mana ia pergi? Pihak penguatkuasa kena bagi penjelasan sebenar. Adakah mereka ada turun ke gudang atau stor untuk tengok keadaan sebenar atau hanya melawat di pintu pejabat sahaja,” katanya ketika dihubungi,
Ke mana kah hilangnya beras kita. Yang sering disebut beras putih tempatan (BPT) yang hingga ke hari in BPT masih hilang di pasaran.
Apakah kita tidak cukup beras atau ada cerita di belakang tabir yang tidak ramai ketahui menyebabkan BPT seolah olah hilang. Banyak pihak menuding jari mengenai isu kehilangan beras di pasaran.
“Beras tempatan ni sebenarnya ada, bukan tidak ada sebab sekarang sudah musim menuai. Jadi ini mungkin disebabkan permainan pihak-pihak tertentu, mewujudkan tekanan-tekanan untuk kepentingan peribadi dan sebagainya, “ katanya.
Beliau telah pun kembali ke Rahmatullah baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Ketua Pemuda UMNO Muhammad Akmal Salleh ,mendakwa kartel berbuat demikian kerana beras hancur boleh dijual pada bukan harga kawalan iaitu dengan RM3.40 sekilogram (kg) berbanding harga beras tempatan ditetapkan iaitu pada RM2.60/kg.
Namun akhirnya pengguna menjadi mangsa disebabkan isu keterjaminan makanan ini tidak dicapai.
Isu ini bukan sahaja melibatkan bekalan tetapi apabila membincangkan keseluruhan keterjaminan makanan, ia melibatkan sekurang-kurangnya lima elemen perlu dipenuhi.
Mengulas perkara tersebut, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, selama ini kita menyentuh mengenai isu pengeluaran makanan,
Elemen pengeluaran sahaja kata beliau tidak mencukupi apabila membincangkan mengenai keterjaminan , empat atau lima elemen perlu dipenuhi iaitu ketersediaan, kemampanan, mudah dicapai, mampu dibeli dan mengandungi nutrisi.
Berdasarkan statistik, rakyat Malaysia secara purata makan nasi 80 kilogram (kg) setahun, selain warga asing yang makan 120 kg setiap orang.
Penggunaan beras kita lebih kurang 200,000 tan metrik setiap bulan. Pengeluaran beras tempatan pula menyumbang sebanyak 60 peratus atau 1.8 juta tan manakala 1.2 juta metrik tan atau 40 peratus sahaja beras perlu diimport untuk menampung bekalan beras tempatan yang tidak mencukupi
Ketika ini kita ada lebih kurang 211,000 pesawah termasuk padi bukit. Namun dengan jumlah pesawah yang ada, kira-kira 60 peratus berumur lebih daripada 55 tahun ke atas.
Sebenarnya, kawasan penanaman padi di negara ini tidak sampai 700,000 hektar. Kita hanya tanam dua musim dan ada yang separuh satu musim. Tempoh matang benih pula memakan masa 110 hingga 120 hari atau dengan kata lain kita hanya boleh tanam dua kali setahun.
Dalam isu kehilangan beras ini, ada beberapa faktor penyebab sama ada pengeluarannya tidak mencukupi atau masalah pemasaran atau seperti diperkatakan oleh ramai pihak, ada tangan tangan ghaib yang memonopoli pembelian daripada kilang , kemudian, membungkusnya semula sebagai beras import dengan meletakkan harga lebih tinggi bagi mengaut keuntungan berganda.
Mustahil pengeluaran beras kita tidak cukup . Kita mengeluarkan tiga juta tan metrik setahun.
Isu mula timbul apabila India mula menyekat eksport berasnya yang mendorong beberapa negara pengeksport lain menaikkan harga.
Justeru, berlaku peningkatan harga beras dunia.
Harga baharu beras import diumumkan pada 1 September 2023 harga baharu beras import dengan harga jualan borong RM3,200 bagi setiap tan matrik.
Ketua Task Force (Pasukan Petugas Khas) Pemantauan Kluster Makanan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata pihaknya telah diarah untuk mencari punca kehilangan BPT daripada pasaran ini.

Perlu diingat beras tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) adalah jenis yang sama dan sukar dibezakan. BPT dikawal pada harga RM26 sekampit manakala harga BPI pula tidak dikawal. Susulan kenaikan itu, BPI dijual di pasaran tempatan kepada pengguna lebih daripada RM40/kampit.
Dengan harga BPT kekal, hanya boleh dijual pada harga RM26/kampit. Dua struktur harga.
Dalam keadaan ini ,terdapat peluang untuk mengaut keuntungan yang lebih, maka pemain industri iaitu kartel telah mengampit BPT sebagai BPI dan menjualnya pada harga BPI.
Keadaan ini menyebabkan pengilang atau kartel membeli padi dengan harga yang tinggi daripada pesawah, dengan harapan boleh menjual dengan harga yang lebih tinggi juga sebagai beras import.
Ekosistem yang berlaku ini menyebabkan pembelian harga padi menjadi tidak stabil mencetuskan situasi kegelisahan rakyat dan marah kerana harga beras meningkat secara berterusan dan dimanipulasi oleh pemain industri.
Dengan keadaan itu, Syed Abu Hussin mengingatkan kepada lima pengilang besar yang mengawal 80 peratus pasaran padi dan beras tempatan, supaya jangan jadikan ketamakan untuk mengaut keuntungan berlebihan hingga rakyat dan kerajaan terjebak menjadi mangsa krisis.
Maka, apabila ini berlaku isu beras sudah menjadi krisis makanan.
Mampukah kita mengeluarkan beras untuk kegunaan sendiri seratus peratus, tanpa perlu mengimportnya.
Apakah Gelombang Padi dapat membantu kerana ketiadaan beras ini lebih kepada isu ketamakan bukannya kekurangan pengeluaran?
Menerusi Gelombang Padi, kita menyasarkan penanaman benih padi bawah 80 hari bermula pada 2025, ini satu perubahan besar dalam industri. Kita takut apabila masih dalam keadaan ini, kita bergantung pada import dan berlaku sekatan, ia bahaya kepada negara.
Beras tempatan pun tidak cukup sebab hanya hasilkan 1.5 juta tan metrik sedangkan Vietnam (42 juta), Indonesia (54) juta dan Thailand (34 juta). Tidakkah seolah-olah 40 kali ganda kita ketinggalan?
Malaysia menyasarkan pengeluaran padi antara enam hingga tujuh tan metrik untuk kawasan tertentu dan jika lebih daripada itu kita semakin hampir jadi negara pengeksport beras. Bukan mustahil tapi bukan hari ini.
Maka, isunya kita bukan hilang beras kerana kita sendiri menanam padi tetapi sikap mencari untung berganda , akhirnya pengguna merana.
Mengulas isu sama pakar pertanian Unversiti Putra Malaysia, Prof Datuk Md. Nasir Ibrahim berkata, isu pokok adalah penguat kuasaan yang tidak berkesan.
“(Isu) beras tempatan dicampur dengan beras import atau ‘tukar baju’ sudah lama berlaku. Ini terjadi kerana penguatkuasaan yang lemah,” ujarnya.
Tidak mustahil bekalan berasaskan makanan lain boleh menjadi masalah pada masa akan datang sekiranya ada masih pihak berhasrat mengaut untung lebih.- UTUSAN










