Tiga bulan tidak tonton TV, dengar radio - Utusan Malaysia

Tiga bulan tidak tonton TV, dengar radio

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Maaf, saya sudah lama tidak dengar radio.”

Demikian respons penyanyi, Amir Jahari, tatkala ditanya tentang lagu terkini manakah yang dirasakan mempunyai aura dan mampu memberi saingan kepadanya di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL 38).

Penyanyi lagu Hasrat itu memaklumkan dia sudah tiga bulan ‘berpuasa’ daripada mendengar radio dan menonton televisyen (TV). Menurutnya, itu adalah rutin yang dilakukannya setiap kali menyiapkan album baru.

“Memang sepanjang tiga bulan ini saya elak daripada mendengar nyanyian atau muzik orang lain bagi menyiapkan album ketiga saya.

“Itu adalah kebiasaan yang saya lakukan untuk mengelakkan karya saya terpengaruh dengan karya orang lain,” katanya.

Album ketiga yang masih dirahsiakan judulnya itu bakal memuatkan 13 lagu dan menemui pendengar selepas Hari Raya Aidilfitri. Bagi mencipta momentum, Amir akan menerbitkan sebuah single selepas AJL38 pada Mac tahun depan.

AJL 38

Selepas 11 tahun tidak muncul di pentas Anugerah Juara Lagu, Amir sekali lagi mencipta peluang apabila lagunya, Hasrat lolos ke AJL38.

“Sejak Tanpamu, saya tidak letak apa-apa harapan kepada manusia. Sebelum terpilih melangkah ke AJL, saya pernah berdoa agar Allah berikan apa yang dirasakan terbaik.

“Saya bersyukur kerana berpeluang lagi ke AJL dan Insya-Allah saya bawa semangat arwah bapa semasa menyampaikan lagu ini nanti.

“Fokus utama saya bukanlah untuk menang sebaliknya menyampaikan mesej. Saya akan berbincang dengan pasukan untuk menampilkan kelainan menerusi permainan visual pada persembahan saya nanti,” tambahnya.

ALBUM RAWAT KEMURUNGAN

Amir berdepan kemurungan kronik sehingga pernah beberapa kali cuba menamatkan riwayat hidup pada tahun 2018.

Katanya, muzik yang dihasilkan sebelum ini telah menyelamatkan dirinya daripada terus tersepit dalam keadaan sukar.

“Saya pernah beberapa kali cuba terjun jambatan. Namun saya teringat wajah ibu dan ayah, anak, isteri serta guru saya. Akhirnya saya memutuskan untuk mendapatkan pertolongan dengan pakar.

“Selain ubat dan terapi, album kedua juga antara perkara yang menyelamatkan saya daripada terus menderita kemurungan. Sebenarnya, agak kelakar apabila saya fikirkan semula tentang perkara itu.

“Sepanjang proses penghasilan album tersebut, keadaan saya baik sahaja. Namun lagu-lagu yang dimuatkan didalamnya mengingatkan saya untuk kembali kepada Allah S.W.T. Ia seolah-olah membuatkan saya bercakap kepada diri sendiri tentang masa depan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×