Persoalan siapakah yang akan mengetuai kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan terjawab menerusi pelantikan Ketua Bersatu Bahagian Rasah, Mohamad Hanifah Abu Baker, kelmarin.
Pelantikan beliau bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menduduki jawatan tersebut sejak Jun 2023.
Bukanlah sesuatu yang mengejutkan mengenai pelantikan Mohamad Hanifah memandangkan kedudukannya sebagai ketua bahagian apatah lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu selepas memenanginya buat kali pertama pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu.
Pada usia 44 tahun, pelantikannya boleh disifatkan sebagai nafas baharu kepada Bersatu negeri yang pernah dipimpin Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Datuk Eddin Syazlee Shith.
Sebagai parti yang mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Labu dan Gemas, Mohamad Hanifah mempunyai tugas bukan mudah.
Beliau turut akan mengetuai Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di mana rakan sekutu iaitu Pas mempunyai tiga lagi kerusi DUN iaitu Paroi, Bagan Pinang dan Serting.
Kesemua ADUN PN tersebut termasuk dirinya pertama kali bergelar wakil rakyat dan sudah tentu prestasi mereka diperhati oleh rakyat di negeri ini.
Tenaga muda dan segar yang ada pada Mohamad Hanifah serta idea baharu daripadanya memang ditagih khususnya bagi merangka strategi untuk PN dan Bersatu menghadapi pilihan raya umum seterusnya nanti. – UTUSAN










