Siapa calon PM mewakili PN selain Muhyiddin?

Siapa calon PM mewakili PN selain Muhyiddin?

MUHYIDDIN Yassin bersama Abdul Hadi Awang dan Dominic Lau pada Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, baru-baru ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEWAKTU Konvensyen Perikatan Nasional (PN) baru-baru, seorang perwakilan mahu seorang anak muda diangkat sebagai calon Perdana Menteri bagi mewakili gabungan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Idea itu kemudian disambut positif oleh 1,300 perwakilan PN yang memenuhi Dewan D2, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) kerana kemungkinan setelah mereka melihat kehadiran 7.8 juta pengundi termasuk 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun pada pilihan raya akan datang.

Namun ketika ditanya cada­ngan itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbar selepas berakhirnya konvensyen menjelaskan, perkara itu terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan calon Perdana Menteri bagi mewakili parti berkenaan.

Jawapan itu sekali gus mencetuskan 1,001 persoalan sama ada Muhyiddin masih kekal diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri atau sebaliknya memandangkan kapasitinya sebagai Pengerusi PN dan bekas Perdana Menteri.

Hal ini kerana desas-desus beliau bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya PN berjaya membentuk Kerajaan Pusat bukanlah satu perkara baharu apabila Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai pernah menegaskan lima komponen memilih Muhyiddin sebagai calon untuk jawatan tersebut.

Bagaimanapun menjadi persoalan di sini ialah siapa calon Perdana Menteri selain Muhyiddin? Jika mengikut senioriti, individu lain adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan diikuti Dominic Lau, seterusnya Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan masing-masing atas kapasiti Timbalan Pengerusi PN.

Bagaimanapun jika mahu mengetengahkan calon lain, nama-nama boleh diketengahkan adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan mungkin Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Namun, sekiranya mengambil lontaran idea perwakilan agar orang muda menjadi calon Perdana Menteri, rata-rata pemimpin disebut di atas berusia lebih 50 tahun dan ada sudah mencapai usia warga emas.

Mungkin PN boleh mengete­ngahkan anak-anak muda mereka seperti Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang masih berusia bawah 50 tahun.

Hakikatnya, PN tidak ketandusan pemimpin muda berkaliber, sebaliknya hanya perlu ada iltizam untuk mempertaruhkan lebih ramai nama baharu sebagai calon Perdana Menteri selain Muhyiddin sendiri.

Jika Parti Konservatif me­ngetengahkan Mary Elizabeth Truss, 47, sebagai Perdana Menteri baharu Britain, kenapa tidak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, 45, sebagai calon sesuai selain Muhyiddin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×