SURABAYA: Industri kasut Indonesia berpotensi meningkatkan ekonomi negara ini ke peringkat global, apabila eksport kasut negara pada setengah tahun ini mencecah AS$3.7 bilion (RM15.6 bilion).
Setiausaha Jabatan Industri Kecil dan Sederhana di Kementerian Perindustrian, Riefky Yuswandi berkata, sehingga suku kedua tahun ini, prestasi industri kasut negara meningkat sebanyak 3.92 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Katanya, data dari Buku Tahunan Kasut Dunia 2023 menunjukkan, Indonesia berada dalam senarai lima pengeluar kasut teratas di dunia dengan 807 juta pasang dihasilkan tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 445 juta pasang atau sekitar 55 peratus dieksport, menunjukkan produktiviti dan kapasiti besar Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pertandingan Kreatif Kasut Indonesia (IFCC) di Surabaya, semalam.
Riefky meramalkan, eksport kasut negara tahun ini mungkin lebih daripada AS$6.4 bilion (RM27 bilion) yang dicapai pada tahun lalu.
Katanya, walaupun pasaran eksport untuk kasut Indonesia nampak meyakinkan, beliau mengakui potensi pasaran domestik masih kurang dimanfaatkan.
Jelasnya, hanya 362 juta pasang yang dijual di dalam negara, satu angka yang sederhana memandangkan populasi Indonesia adalah 282 juta.
“Untuk mengatasi masalah ini, kita perlukan inovasi yang lebih besar untuk memanfaatkan pasaran domestik,” ujarnya. – AGENSI










