PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sudah mengemukakan cadangan mekanisme baharu kadar cukai durian runtuh bagi perniagaan kelapa sawit kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau sudah mengemukakan mekanisme cukai itu kepada MOF dua minggu lalu susulan permintaan daripada pemain industri kelapa sawit di negara ini.
“Isu ini bukan baharu malah, ia telah dibawa kepada saya sejak saya mula memimpin kementerian ini sekitar tujuh bulan lalu.
“Mereka (pemain industri) menyifatkan kadar cukai sedia ada tidak bersesuaian memandangkan kos pengeluaran yang sudah meningkat.
“Dahulu kalau nak keluarkan satu tan, kena kos dalam RM1,800 kini lebih kurang RM2,800 hingga RM3,000 bagi satu tan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2023/2024 di sini, semalam.
Katanya, semakan semula terhadap kadar cukai itu penting bagi menggalakkan pelabur terus melabur dalam industri ini.
Ditanya sama ada mekanisme baharu cukai itu akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2025 nanti, Johari berkata, beliau tidak dapat sahkan perkara tersebut, namun yang pasti isu itu telah diketengahkan untuk dipertimbangkan.
“Itu kita tidak tahulah tapi saya sudah kemukakan mekanisme cukai itu kepada MOF,” katanya.
Sementara itu, Johari dalam ucapannya berkata, beliau mahu pemain industri termasuk pekebun kecil mengutamakan penggunaan anak benih bermutu tinggi bagi menjamin peningkatan pengeluaran.
Menurutnya, penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi yang diiktiraf Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), berpotensi menghasilkan lebih banyak tandan buah sawit dengan kadar perahan minyak lebih tinggi.
“Oleh itu, adalah amat penting bagi pengusaha nurseri untuk membekalkan anak benih berkualiti, manakala pengusaha ladang dan pekebun kecil pula digalakkan untuk membeli anak benih sawit tulen daripada tapak semaian yang berlesen dan mempunyai sijil Code of Good Nursery Practice for Oil Palm Nurseries (CoPN),” katanya. – UTUSAN










