Oleh DR ANURA MICHELLE MANUEL
Jane, 9 tahun (bukan nama sebenar), mencapai gred yang cemerlang, Jane seorang pendiam dan sukar menjawab soalan di dalam kelas.
Merasakan sesuatu yang tidak kena, gurunya menyarankan ibu bapa membawa Jane untuk berunding dengan doktor. Jane melalui ujian pendengaran. Rupa-rupanya dia ada masalah kehilangan pendengaran sederhana pada telinga kanan dan kehilangan pendengaran teruk pada telinga kiri.
Jane tiada masalah dengan pertuturan kerana keluarganya rajin mengajarnya bercakap. Lantaran itu kehilangan pendengaran dialaminya diketahui sehingga beliau berumur sembilan tahun.
Jane segera diberikan alat bantuan pendengaran untuk telinga kanannya dan setahun kemudian, menerima implan koklea untuk telinga kirinya. Sejak itu, kemahiran sosialnya bertambah baik. Kini beliau lebih banyak bersuara di dalam kelas.
Kehilangan pendengaran dalam kalangan bayi dan kanak-kanak walaupun berada pada tahap sederhana, boleh menjejaskan perkembangan pertuturan, bahasa, kognitif dan sosial.
Di Malaysia, insiden kehilangan pendengaran berlaku satu hingga tiga kejadian bagi setiap 1,000 kelahiran. Jumlah ini meningkat sehingga lebih kurang enam orang bagi setiap 1,000 kanak-kanak apabila mencapai umur masuk ke sekolah rendah.
Meskipun pelaksanaan ujian saringan pendengaran bayi universal di kebanyakan hospital kerajaan dan swasta, yang mampu mendiagnosis kehilangan pendengaran dalam kalangan kanak-kanak seawal umur tiga bulan dan intervensi yang sesuai pada umur enam bulan. Agak ramai juga kanak-kanak yang didiagnosis lewat, terutamanya di kawasan luar bandar.
TAK TAHU TANDA
Antara punca peningkatan insiden ialah kurang kesedaran dalam kalangan ibu bapa atau penjaga tentang tanda kehilangan pendengaran termasuk impaknya kepada si kecil.
Sedangkan jika seorang anak didiagnosis dengan kehilangan pendengaran teruk selepas umur empat tahun, mereka akan mengalami kesukaran pertuturan kerana selepas umur berkenaan, kebolehan otak mempelajari pertuturan menurun dengan ketara.
Kadangkala, dengan kehilangan pendengaran sederhana, walaupun anak boleh bercakap, mereka mungkin mengalami kesukaran menyebut bunyi percakapan senyap seperti as s, sh, f, t dan k.
Mereka berkemungkinan menggunakan ayat lebih pendek dan mudah serta mereka mungkin tidak dapat memahami nada suara yang dikaitkan dengan perasaan marah, gembira atau sedih.
KECICIRAN SEKOLAH
Peningkatan kehilangan pendengaran yang teruk, memungkinkan kanak-kanak akan ketinggalan satu hingga empat tahun berbanding rakan sebaya yang memiliki pendengaran normal. Jurang akan meningkat dengan masa. Mereka juga mungkin mengalami kesukaran berinteraksi secara sosial, yang akan mengakibatkan mereka merasa keseorangan atau tidak ingin bergaul dengan orang lain.
Kehilangan pendengaran terbahagi kepada tiga iaitu kehilangan pendengaran gangguan aliran bunyi, kehilangan pendengaran saraf deria dan kehilangan pendengaran gabungan.
Kehilangan pendengaran gangguan aliran bunyi disebabkan keabnormalan di luar atau pertengahan telinga, yang bertanggungjawab untuk membawa gelombang bunyi dari persekitaran ke bahagian dalam telinga.
Kehilangan pendengaran saraf deria pula adalah keabnormalan di bahagian dalam telinga, yang bertanggungjawab untuk menukar gelombang bunyi ke impuls elektrik. Impuls elektrik ini kemudian dibawa ke otak untuk persepsi bunyi dan pemahaman.
Kehilangan pendengaran gabungan pula adalah gabungan kehilangan pendengaran gangguan aliran bunyi dan saraf deria.
Dalam kalangan kanak-kanak, kehilangan pendengaran mungkin kongenital (ada ketika lahir), dengan 50 peratus kes kongenital disebabkan oleh keturunan.
PERHATIKAN TANDA
Untuk kanak-kanak di bawah umur tiga tahun, ibu bapa perlu perhatikan respons yang lemah kepada bunyi, pertuturan yang tidak jelas, pertuturan tertangguh dan mengamuk kerana ketidakupayaan untuk meluahkan perasaan mereka.
Untuk kanak-kanak yang lebih tua – ibu bapa mungkin akan dapati anak-anak mereka tidak memberi perhatian; lemah di sekolah; tidak menyahut panggilan; meninggikan bunyi televisyen dan peranti mereka yang lain; dan bercakap dengan kuat. Mereka juga akan sering meminta orang lain untuk mengulangi percakapan mereka, bercakap dengan perlahan dan juga kuat.
Bagi kehilangan pendengaran bilateral (dua belah) yang teruk atau tiada pendengaran langsung, simptom selalunya jelas apabila kanak-kanak tersebut berumur satu hingga dua tahun.
Bagi kehilangan pendengaran bilateral sederhana, simptom mungkin akan kelihatan jelas kemudiannya – pada umur dua tahun atau lebih. Kehilangan pendengaran unilateral, tanda-tandanya jelas pada umur tiga hingga empat tahun – kadangkala, pada usia persekolahan.
PUNCA
Jangkitan ketika kehamilan seperti rubela dan cytomegalovirus (CMV)
Keadaan/komplikasi ketika melahirkan seperti kelahiran pramatang, bayi berat lahir rendah (LBW), tahap oksigen rendah.
Kandungan jaundis sangat tinggi
Jangkitan ketika zaman kanak-kanak seperti meningitis, beguk dan demam campak.
Apabila kanak-kanak membesar, kehilangan pendengaran juga boleh disebabkan oleh jangkitan telinga daripada flu, batuk atau demam biasa; mengorek telinga; dan berenang di dalam tasik, sungai atau kolam renang yang kotor.
Sebab-sebab lain termasuk impak tahi telinga, cecair di bahagian tengah telinga dan pendedahan kepada bunyi bising. Tambahan pula, sesetengah ubat tertentu seperti antibiotik atau ubat kemoterapi mungkin memberi kesan kepada fungsi bahagian dalam telinga – yang menyebabkan kehilangan pendengaran.
RAWATAN
Jangkitan telinga biasanya dirawat dengan antibiotik lokal atau sistemik. Dalam sesetengah kes kehilangan pendengaran saraf deria, yang selalunya tidak dapat dipulihkan, rehabilitasi diperlukan. Ini termasuk penggunaan alat bantuan pendengaran untuk kehilangan pendengaran ringan, sederhana dan teruk manakala implan koklea diperlukan untuk kehilangan pendengaran yang sangat teruk.
Bergantung kepada jenis dan tahap kehilangan pendengaran, terdapat juga alat-alat lain yang tersedia seperti alat pendengaran bone-anchored, vibrant soundbridge dan bonebridge.
Teknologi perubatan mungkin menjadi semakin maju tetapi mengambil langkah pencegahan untuk mengelak kehilangan pendengaran sentiasa digalakkan. Kebanyakan jangkitan yang boleh membawa kepada kehilangan pendengaran boleh dikurangkan dengan kesihatan maternal yang lebih baik, penjagaan bayi dan juga vaksinasi.
Pakar ENT ini menawarkan langkah mudah tetapi efektif yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk melindungi pendengaran anak mereka:
Elakkan daripada mengorek telinga (untuk mencuci telinga anak anda, gunakan kain basah dan cuci lap di keliling cuping telinga – hanya sampai ke saluran telinga dengan jari kelengkeng anda).
Elakkan berenang di dalam kolam renang, sungai dan tasik yang kotor.
Berwaspada jika anak anda mendengar muzik dengan kuat melalui fon kepala.
Periksa pendengaran anak anda jika anda perasan pertuturan mereka tertangguh atau tidak jelas, mereka mempunyai daya tumpuan yang lemah, mereka bercakap dengan kuat dan mereka meninggikan bunyi televisyen.
Justeru kanak-kanak perlu menerima rawatan awal dan segera untuk jangkitan salur pernafasan atas dan jangkitan telinga sebelum keadaan menyebabkan komplikasi.
Lebih penting, perhatikan tanda-tanda jelas kehilangan pendengaran. Ibu bapa perlu membawa bayi baru lahir anda melakukan saringan kehilangan pendengaran ketika lahir kerana pengesanan awal adalah penting dalam menentukan pertuturan dan hasil perkembangan bahasa anak-anak.
—————
Penulis ialah Perunding Otolaringologi Pusat Perubatan Prince Court.










