35,000 tan padi dijangka rosak, kerugian RM65 juta?

35,000 tan padi dijangka rosak, kerugian RM65 juta?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Banjir melanda Perlis dan Kedah yang menyaksikan kawasan sawah seluas lebih 5,000 hektar di dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terjejas dijangka bakal menyebabkan anggaran 35,000 tan metrik padi rosak dengan kerugian boleh mencecah sehingga RM65 juta.

Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi berkata, anggaran jumlah kerugian tersebut berdasarkan harga padi semasa RM2,300 per tan metrik termasuk subsidi termasuk selepas ditolak potongan untuk berat bersih.

Katanya, banjir yang menyebabkan kawasan sawah tenggelam dan padi rebah itu juga bakal menyaksikan anggaran lebih 17,000 tan metrik beras tidak dapat dihasilkan untuk tuaian musim ini di Kedah dan Perlis.

“Dilaporkan lebih 5,000 hektar sawah dalam kawasan MADA rosak akibat bencana banjir. Musim ini bagi yang tidak terkesan dengan bencana rata-rata beroleh hasil lebih baik, sekitar dua tan per relung atau tujuh tan metrik per hektar.

“Anggaran kerugian pula dijangka 35,000 ribu tan metrik padi rosak dengan nilai kerugian pesawah berdasarkan harga padi semasa RM2,300 termasuk subsidi boleh mencecah sehingga RM65 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, penantian pesawah untuk menuai hasil yang sudah hampir tiba pada bila-bila masa terencat apabila banjir yang melanda negeri ini menyebabkan kawasan sawah mereka tenggelam sehingga menyebabkan padi rebah.

Ekoran itu, pesawah yang terlibat khususnya di kawasan Tambun Tulang dan Kuala Perlis di sini berdepan kemerosotan hasil antara 50 sehingga 75 peratus pada musim ini.

Seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, berkata, hasil pesawah yang terjejas dijangka hanya mampu diselamatkan sekitar 25 hingga 50 peratus menyebabkan mereka bakal me­ngalami kerugian.

Katanya, ketika ini sekitar 30 hingga 40 peratus sahaja sawah yang sempat dituai..

“Bila hujan dan banjir, mesin padi tidak dapat masuk sekali gus membantutkan kerja-kerja menuai. Ketika ini, kawasan sawah banyak yang dilaporkan tenggelam.

“Sepatutnya, pesawah sudah boleh menuai namun banjir yang melanda menyebabkan mereka tidak dapat berbuat demikian. Dugaan tahun ini bagi pesawah agak bertimpa-timpa,” katanya.

Sementara itu, MADA dalam satu kenyataan memaklumkan, banjir yang melanda Perlis dan Kedah menyebabkan kawasan sawah seluas 5,388.63 hektar dalam kawasannya terjejas.

Antara kawasan terjejas itu membabitkan Wilayah I Perlis seluas 20 hektar, Wilayah II Jitra, Kedah (1,525.6 hektar), Wilayah III Pendang, Kedah (2,206.7 hektar) dan Wilayah IV Kota Sarang Semut, Kedah (1,636.33 hektar).

Status kemajuan aktiviti penanaman padi di kawasan MADA bagi musim 1/2024 sehingga 18 September lalu sebanyak 93.6 peratus kawasan tanaman padi telah berbunga dan aktiviti masak telah mencapai 68.3 peratus.

Manakala aktiviti penuaian pula sebanyak 26.6 peratus dan dijangka terjejas disebabkan keadaan cuaca pada masa ini.

“MADA telah mengoperasikan bilik gerakan bagi memantau operasi paras sungai-sungai utama dalam kawasan MADA,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×