PETALING JAYA: Qew Group Berhad (Qew) menjalin kerjasama strategik dengan Crewstone International Sdn. Bhd. (CSI) bagi meningkatkan portfolio pelaburan dan keupayaan penstrukturan dana.
Qew dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama berkenaan juga diwujudkan bagi mengurus penjanaan modal dan pelaburan runcit kedua-dua institusi.
“Fokus utama perkongsian ini adalah memastikan usaha wajar yang menyeluruh dan pengurusan yang berkesan bagi semua pelaburan berpotensi tinggi.
“Perkongsian itu bukan sahaja akan membantu Qew mengembangkan kehadirannya di peringkat antarabangsa tetapi juga meningkatkan reputasinya dalam pasaran pelaburan global,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Qew berkata, kedua-dua syarikat itu juga akan mematuhi piawaian dan standard tertinggi berdasarkan peraturan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).
“Qew dan CSI juga akan bekerjasama rapat untuk mengenal pasti dan melibatkan diri dengan bakal pelabur selaras objektif pelaburan strategik dan profil kami.
“Dengan membina perkongsian jangka panjang dengan pelabur yang tepat, kerjasama itu bertujuan untuk memacu strategi pelaburan yang mampan dan berfokuskan pertumbuhan syarikat pada masa depan,” katanya. – UTUSAN










