Jangan sombong, perkecil anugerah industri tempatan

Jangan sombong, perkecil anugerah industri tempatan

AZHAR SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon senior, Azhar Sulaiman menasihatkan agar pelapis baharu tidak bersikap ‘poyo’ selepas meraih populariti dalam industri seni tanah air.

Menurut Azhar, tidak salah untuk mempunyai impian yang besar namun tidak perlu memperkecilkan setiap pengiktirafan anugerah yang diusahakan oleh industri seni tempatan tanah air.

“Tak perlu poyo, industri seni tanah air di sini kecil sahaja. Dia mahu memanipulasikan siapa bila dia berkata sedemikian? Dia kena tahu bagaimana usaha Micheal Yeoh, Henry Golding dan artis tanah air yang lain mendapat tempat di sana.

“Bagus untuk ada impian, tapi jangan perlekehkan usaha yang orang lain untuk mendapatkan pengiktirafan dalam industri tempatan. Kecil macam mana sekali pun anugerah itu, kita kena pergi beri sokongan dan raikannya.

“Jangan sebab baru ada sedikit populariti itu, sudah mahu berlagak. Dunia sekarang, nak jadi terkenal bukan sebab rupa sahaja. Kalau Allah nak buka rezeki, terus terkenal. Tak payah nak berlagak sangatlah bila sudah ada kuasa itu,” kata Azhar kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, pelakon, Beto Kusyairy turut berpendapat seseorang artis itu perlu berpijak pada bumi yang nyata sebelum memasang angan-angan untuk meraih anugerah antarabangsa ter­utamanya, Oscars.

Tambah Azhar lagi, seseorang itu juga harus kekal membumi meskipun mendapat ba­nyak keistimewaan dan keutamaan dalam sesetengah hal setelah meraih populariti dan dikenali ramai.

“Jadi seorang yang popular di Malaysia ni, memang senang dapat keistimewaan untuk orang buat baik dengan kita dan orang akan tolong kita. Hidup ini akan jadi mudah bila dikenali.

“Sekiranya, diiktiraf oleh masyarakat untuk sesuatu anugerah, gunakan perjalanan itu ke jalan yang betul dan jadi orang yang lebih baik. Jadi ter­kenal pun ada baik dan buruknya.

“Dia satu batu loncatan untuk kita berjaya dalam hidup sama ada dalam karier yang sama atau pun yang lain. Saya bersyukur sebab saya dilindungi media yang sentiasa menjaga saya sewaktu mula menceburi bidang ini. Apabila ada sebarang kontroversi, media pun senang berkomunikasi dengan kita,” jelasnya.

Mengakui muak dengan sikap sesetengah artis baharu yang mula mendabik dada setelah popular, Azhar bagaimanapun akur dengan revolusi yang dialami industri seni tempatan yang disifatkan berbeza dari eranya.

“Kadang-kadang saya muak ada sesetengah orang yang baru dapat populariti sikit sudah berlagak macam kerabat. Ramai yang terlupa asal usul mereka dan berpendapat tidak perlu berbuat baik dengan orang lain. Kalau kita berpegang dengan pemikiran macam itu maksudnya, kita bukan orang yang baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×