BERLIN: Jerman menghentikan sementara eksport senjata perang baharu ke Israel sementara berusaha menangani cabaran undang-undang, menurut analisis data Reuters dan maklumat sumber Kementerian Ekonomi.
Tahun lalu, Jerman meluluskan eksport senjata ke Israel bernilai 326.5 juta euro (RM1.5 bilion), termasuk peralatan ketenteraan dan senjata perang.
Menurut data Kementerian Ekonomi yang meluluskan lesen eksport berkenaan, jumlah itu meningkat 10 kali ganda berbanding 2022.
Bagaimanapun, kelulusan menurun tahun ini dengan hanya 14.5 juta euro (RM68 juta) yang diluluskan dari Januari hingga 21 Ogos lalu, menurut kementerian semasa sesi soal jawab di Parlimen.
Daripada jumlah itu, kategori ‘senjata perang’ hanya menyumbang sebanyak 32,449 euro (RM153,726).
Sumber terdekat kementerian berkata, pihaknya menghentikan kerja meluluskan lesen eksport senjata ke Israel, sementara menunggu penyelesaian kes undang-undang yang didakwa eksport dari Jerman melanggar undang-undang kemanusiaan.
Dalam pembelaan terhadap dua kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan di Berlin, kerajaan mendakwa tiada senjata perang dieksport di bawah mana-mana lesen yang dikeluarkan sejak serangan 7 Oktober tahun lalu, kecuali alat ganti untuk kontrak jangka panjang, menurut sumber.
Namun, isu ini menimbulkan ketegangan dalam kerajaan Jerman kerana Pejabat Canselor terus menyokong Israel, manakala Kementerian Ekonomi dan Luar Negeri yang dipimpin Parti Hijau, peka terhadap kritikan ahli yang mengutuk pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Cabaran undang-undang di seluruh Eropah juga menyebabkan sekutu Israel yang lain menghentikan atau menangguhkan eksport senjata.
Bulan ini, Britain menggantung 30 daripada 350 lesen untuk eksport senjata ke Israel kerana kebimbangan Tel Aviv mungkin melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.- REUTERS











