SABAK BERNAM: Keluarga seorang pengawal keselamatan sekolah yang disyaki dibunuh selepas mayatnya ditemukan dalam but kereta menuntut keadilan dan mahu suspek dihadapkan ke mahkamah.
Isteri mangsa berusia 39 tahun yang enggan dikenali berkata, dia masih terkejut dan bersedih selepas menerima berita duka itu kelmarin.
Jelas pengawal keselamatan sebuah kolej itu, kali terakhir dia bertemu suaminya adalah Sabtu lalu sebelum ke Dengkil atas urusan keluarga.
“Pada pagi itu, saya sempat berpesan kepada arwah supaya memandu kereta ke tempat kerja kerana cuaca tidak menentu.
“Namun, keesokannya (Ahad) saya mula gelisah apabila arwah masih tidak pulang ke rumah dan tidak membalas mesej WhatsApp,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Menurutnya, keresahan itu terjawab apabila polis memaklumkan mayat arwah ditemukan dalam but keretanya kelmarin.
“Saya serah sepenuhnya kepada polis dan dan yakin kes itu dapat diselesaikan dengan menangkap suspek terlibat.
“Kami sekeluarga hanya mahu suspek dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.
Dakwa wanita itu, arwah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah rendah sejak setahun lalu itu tiada musuh malah disenangi ahli keluarga, jiran dan kenalan.
“Arwah tidak pernah menceritakan keburukan orang lain malah dia suami yang baik dan mengutamakan keluarga.
“Dia juga tidak pernah menyembunyikan sesuatu dan sentiasa berterus terang dengan saya,” katanya.
Tambah beliau, dia dan Allahyarham itu berkahwin sejak 11 tahun lalu namun belum mempunyai cahaya mata.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Robin Guha Thakurta ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan rapi terutama mengumpul bahan bukti berhubung kes berkenaan.
“Kes setakat ini masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya,
Utusan Malaysia semalam melaporkan mayat lelaki tempatan berusia 43 tahun itu dijumpai polis dalam Proton Saga BLM yang diparkir di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama di sini, kelmarin. – UTUSAN










