Siasatan skandal 1MDB caca marba – Peguam

Siasatan skandal 1MDB caca marba – Peguam

Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam. -UTUSAN/ M. FIRDAUS M.J OHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pem­belaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam menghujahkan bahawa siasatan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah berat sebelah, tergesa-gesa, caca marba dan tidak lengkap.

Menurut peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, telah terdapat satu niat untuk mendakwa dan mendapati bekas Presiden UMNO itu bersalah tidak kira apa jua hasil siasatan.

“Ini mengakibatkan jurang pembuktian dalam kes pendakwaan dan melucutkan hak tertuduh yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan penyiasatan dan perbicaraan yang adil sebagaimana termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam kes ini, unsur siasatan berat sebelah dan caca marba dapat dilihat melalui tindakan pegawai penyiasat, saksi pendakwaan (SP) 49, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin menghantar kertas siasatan ke Jabatan Peguam Negara dan izin mendakwa dikeluarkan sebelum keterangan Najib mengikut Seksyen 53 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009 selesai diambil,” kata peguam itu.

Selain itu, peguam tersebut menghujahkan bahawa, pegawai penyiasat itu ketika mengambil keterangan Najib, tidak pernah melakukan siasatan berdasarkan keterangan yang diberikan bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Walaupun SP49 (Nur Aida) bersetuju bahawa seseorang pegawai penyiasat perlu me­nyiasat keterangan yang diberikan oleh seseorang tertuduh, SP49 gagal berbuat demikian. Oleh itu siasatan SP49 tidak boleh dianggap selesai, adil dan memuaskan,”katanya.

Mengenai siasatan berat se­belah, Wan Azwan Aiman menghujahkan Nur Aida tidak langsung menyiasat mengenai salah laku yang dilakukan oleh pengurusan 1MDB yang dikatakan terlibat secara langsung dalam transaksi penyelewengan itu.

“Sebagai contoh, Jasmine Loo Ai Swan (saksi pendakwaan ke-50) dalam keterangannya mengakui menerima wang melalui akaun luar pesisir miliknya. Kami menghujahkan, siasatan Nur Aida hanya fokus kepada kewujudan kesalahan Najib menunjukkan bahawa siasatan yang dijalankannya telah dicemari dengan tindakan yang tidak adil.

“Adalah jelas bahawa terdapat banyak aspek dalam pem­belaan tertuduh tidak disiasat dengan teliti dan sepenuhnya sehingga menyebabkan kelompongan dalam kes pendakwaan. Salah satu pembelaan Najib iaitu wang diterima dalam akaun adalah derma daripada Arab Saudi,” katanya.

Bagaimanapun, pembela­an berhubung derma Arab itu tidak pernah disiasat oleh Nur Aida untuk menjadikan siasatan tersebut lengkap.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini