Kastam peroleh 60 unit kamera badan elak salah laku

Kastam peroleh 60 unit kamera badan elak salah laku

Penggunaan kamera badan dapat mempertingkatkan integriti polis dalam menjalankan tugas mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperoleh sebanyak 60 unit kamera badan (BWC) pada peringkat awal untuk digunakan dalam penugasan harian pegawai dan anggota mereka.

Perolehan ini menjadikan JKDM antara agensi penguat kuasa yang turut menggunakan BWC selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh 1,376 unit bagi menguji keberkesanan dalam penugasan anggota dan pegawai mereka di lapangan.

Penggunaan BWC adalah merupakan projek pilot bagi JKDM selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti- Rasuah (JKKMAR) Siri 10 Bil.5/2019.

Memuatkan artikel berkaitan…

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, 60 unit BWC itu diperoleh secara sewaan bagi tempoh 36 bulan.

ANIS RIZANA MOHD. ZAINUDIN

Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak sebanyak 24 unit akan digunakan pegawai dan anggota JKDM yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diikuti masing-masing 12 unit lagi kegunaan di Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat; JKDM Selangor dan JKDM Johor.

Beliau menjelaskan, BWC ini dikawal selia sepenuhnya oleh Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM yang mana data bagi setiap rakaman akan dihantar ke Unit Semboyan, Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM untuk direkod dan disimpan bagi tujuan semakan.

“Penggunaan BWC ini ber­tujuan bagi menambah baik tahap integriti pegawai-pe­ga­wai di JKDM serta dapat me­ningkatkan aktiviti penguat­kuasaan termasuk risikan da­lam membendung ketirisan ha­sil negara melalui pencegahan aktiviti penyeludupan.

“Peralatan ini akan digunakan oleh pegawai terutamanya di Bahagian Perkastaman yang bertugas sebagai pegawai di barisan hadapan di pintu-pintu masuk utama negara dan juga pegawai di Bahagian Penguatkuasaan yang menjalankan operasi penguatkuasaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, BWC merupakan satu peranti kamera yang diguna pakai di badan seseorang anggota semasa menjalankan tugas.

Jelas beliau, ia merupakan sistem kamera yang dicipta untuk diguna pakai oleh pegawai JKDM di lapangan khususnya Bahagian Perkastaman dan Bahagian Penguatkuasaan bagi tujuan untuk merakam bukti dalam bentuk digital.

“BWC diperlukan untuk melindungi pegawai yang menjalankan tugasan pengoperasian di lapangan daripada tohmahan dan dalam masa yang sama ia dapat meningkatkan integriti pegawai terlibat.

“Peralatan ini boleh menjadi fear factor supaya tidak berlaku salah guna kuasa dan salah laku di kalangan pegawai yang menggunakannya serta individu yang berurusan dengan pasukan operasi Jabatan.

“Hal ini berikutan rakaman BWC boleh dijadikan sebagai bahan bukti sekiranya terdapat isu berbangkit,” tegasnya.

Anis Rizana menegaskan JKDM merupakan sebuah agensi pemungut cukai tidak langsung yang amat penting untuk keseimbangan Fiskal Negara.

Malah, kata beliau, JKDM juga berperanan memberikan fasilitasi perdagangan dan mengawal sempadan negara.

“JKDM menggalas amanah dan tanggungjawab yang besar dalam pembangunan ekonomi dan keselamatan negara.

“Dalam menguatkuasakan undang-undang termasuk pintu keluar dan masuk negara, pemerkasaan tatakelola dan anti-rasuah telah dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan JKDM,” jelasnya.

Justeru itu, beliau menambah JKDM sentiasa menyahut seruan Kerajaan Malaysia MADANI iaitu setiap Kementerian dan Jabatan harus mempertingkatkan tatakelola melalui penggunaan pendigitalan dan Artificial Intelligence (AI).

“JKDM akan bergerak seiring dengan kemajuan teknologi terkini serta berdiri setanding dengan peredaran digital semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini