GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli di Pos Pasik di sini mendakwa hidup mereka umpama berada di dalam ‘zoo’ susulan ancaman hidupan liar melibatkan gajah yang seolah-olah tidak berkesudahan.
Dakwa mereka, masalah itu bukan sahaja mengancam kehidupan malah menjejaskan mata pencarian dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Seorang penduduk, Baizura Alek, 42, berkata, gajah liar itu bukan sahaja muncul di kawasan kebun tetapi turut berkeliaran di kawasan penempatan penduduk berhampiran sekolah.
Katanya, penduduk kini bimbang sekiranya terserempak dengan gajah liar terutama semasa keluar menoreh getah atau mencari hasil hutan.
“Kami rasa seperti tinggal di dalam zoo apabila gajah muncul berhampiran rumah kami untuk mencari makanan.
“Penduduk bimbang keselamatan nyawa ahli keluarga terutama anak-anak yang keluar bermain pada waktu petang dan penduduk yang keluar menoreh getah pada awal pagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baizura memberitahu, dia berharap tindakan segera dapat diambil bagi menyelesaikan masalah penduduk yang sentiasa berulang di kawasan ini.
Katanya, ekoran itu musim menuai padi bukit juga tidak dapat dijalankan pada tahun ini kerana tanaman itu dirosakkan gajah liar.
“Padi bukit, pisang dan ubi kayu merupakan tanaman sara diri keluarga Orang Asli, namun sering dirosakkan sebelum sempat dituai hasil,” ujarnya.
Sementara itu, Aznan Siam, 58, berkata, kehadiran gajah liar dalam tempoh dua hari merosakkan pelbagai jenis tanaman yang diusahakan seperti pisang, sayuran, pokok rambutan, pokok getah dan pokok durian yang baru ditanam.
Katanya, lebih 120 pokok pisang yang kini sedang menunggu hasil turut dimusnahkan haiwan tersebut.
“Gajah itu sebelum ini dilihat berkeliaran di beberapa buah kampung di Pos Pasik sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk kampung.
“Bukan hanya tanaman saya dimusnahkan gajah liar, beberapa kebun penduduk lain turut terlibat. Aktiviti bercucuk tanam dan hasil kebun menjadi sumber makanan dan punca pendapatan kami.
Apabila keadaan itu berterusan, ia memberi kesan kepada kehidupan seharian kami di kawasan pedalaman,” katanya.











