Lebuh Raya Timur-Barat saksi negara menentang komunis

Lebuh Raya Timur-Barat saksi negara menentang komunis

TUGU yang dibina bagi memperingati pembinaan Lebuh Raya Timur-Barat (LRTB) ketika negara berdepan ancaman pengganas komunis pada tahun 1970-an. – UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Pembinaan laluan Gerik-Jeli atau Lebuh Raya Timur-Barat (LRTB) yang dibuka pada 1 Julai 1982 setelah 12 tahun masa diambil untuk disiapkan mencatat pelbagai sejarah berdarah kerana sewaktu dibina pada era 1970-an, negara berdepan ancaman bersenjata gerakan komunis.

Pengajar bidang sejarah, Muhammad Mutalib Nordin berkata, hasil kajianya, dianggarkan 3,000 anggota keselamatan seperti polis dan tentera dilibatkan untuk menjaga keselamatan pekerja pembinaan laluan tersebut.

Beliau yang merupakan ahli panel pada program Pengkisahan Sejarah LRTB di sini baru-baru ini berkata, idea pembinaan jalan Gerik-Jeli itu timbul sejak 1958 menerusi satu rancangan antarabangsa untuk mewujudkan perjalanan darat Asia dari Turki hingga Singapura.

Beliau yang membuat kajian tentang LRTB di peringkat sarjana berkata, sebelum jalan Gerik-Jeli dibina, wujud cadangan membina laluan antara Sungai Siput, Perak dan Kuala Berang, Terengganu melalui Gua Musang.

“Namun, idea yang turut mendapat penyertaan kerajaan Kanada itu tidak diteruskan kerana dipercayai Malaysia dalam keadaan sukar akibat konfrontasi Indonesia serta ancaman komunis.

“Berdasarkan kajian, negara seperti Jepun dan Arab Saudi selain badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Bank Dunia menyatakan kesediaan mereka untuk membina LRTB,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, pesara Askar Wataniah, Ielias Ibrahim berkongsi pengalaman berdarah semasa bertugas bagi mengawal keselamatan pekerja pembinaan LRTB.

Katanya, pada 15 Ogos 1977, dia bersama empat anggota lain bertugas diserang hendap oleh beberapa pengganas komunis di kawasan hutan di Gerik.

Jelasnya, serangan hendap itu mengorbankan dua rakan sepasukannya manakala dirinya cedera di bahagian mata akibat terkena duri pokok sewaktu berdepan asakan tersebut.

“Selepas serangan, keadaan sunyi seketika. Saya dengar langkah dan suara musuh menuju ke tempat saya.

“Saya berlakon pura-pura mati dan pelan-pelan cuba menggunakan peluang yang ada untuk menumbangkan mereka seramai tiga orang menggunakan lima butir peluru,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×