GAZA: Ketua Biro Politik Hamas, Yahya Sinwar berikrar pihaknya sedia berdepan perang yang panjang dengan rejim Zionis dengan sokongan sekutu serantau seperti Iran dan kumpulan-kumpulan bersenjata seperti Hezbollah dan Houthi.
Pemimpin yang memegang pucuk pimpinan Hamas selepas pembunuhan Ismail Haniyeh itu menegaskan, kumpulan Palestin tersebut mempunyai sumber untuk meneruskan perjuangan mereka menentang Israel.
“Kami bersiap sedia melalui perang yang panjang dengan Israel sehingga matlamat kami menubuhkan negara berdaulat tercapai, bebas daripada campur tangan Israel,” katanya menerusi sepucuk surat kepada sekutunya, Yaman.
Tambah beliau, gabungan Hamas bersama Houthi di Yaman dan Hezbollah di Lubnan serta Iraq akan mematahkan serangan Israel.
Pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan memberitahu AFP, pihaknya mempunyai keupayaan tinggi untuk meneruskan perjuangan walaupun ramai angggotanya terbunuh.
Dalam perkembangan terkini di Gaza, sekurang-kurangnya 24 orang maut dalam serangan yang dinafikan dilakukan oleh Israel.
Ia berlaku ketika Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant memberi amaran cubaan untuk menghentikan pertempuran dengan Hezbollah di Lubnan semakin malap, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemusnahan serantau yang lebih luas.
Gallant mendakwa, perjanjian dengan Hezbollah tidak akan berhasil selagi kumpulan tersebut terus menyokong Hamas.
HEZBOLLAH TAK MAHU PERANG
Timbalan Ketua Hezbollah, Naim Qassem berkata, pihaknya tidak berniat untuk berperang, tetapi jika Israel ‘melepaskan’ akan ada kerugian besar di kedua-dua pihak.
Keganasan itu membunuh ratusan yang kebanyakannya adalah pejuang di Lubnan, dan puluhan orang awam dan tentera di pihak Israel.
Perang Gaza telah menarik penglibatan sekutu Hamas yang disokong oleh Iran di seluruh Asia Barat, termasuk Hezbollah di Lubnan dan Houthi di Yaman, yang serangan maritimnya mengganggu perkapalan global melalui laluan air penting di Yaman.
Ahad lalu, pejuang Houthi mendakwa serangan peluru berpandu yang jarang berlaku terhadap Israel yang tidak menyebabkan kematian, mendatangkan kemarahan Netanyahu.
Netanyahu memberi amaran mereka akan membayar ‘harga yang tinggi untuk sebarang percubaan mencederakan kami’.
Menerusi ucapan dalam televisyen, pemimpin Houthi berkata, pihaknya ‘bersedia untuk melakukan lebih banyak serangan’.
“Operasi kami akan diteruskan selagi pencerobohan dan pengepungan terhadap Gaza masih berterusan,” kata Abdul Malil Al-Houthi.
MAHMUD ABBAS KE SEPANYOL
Sementara itu, Pakar Bebas Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran terhadap Israel yang tidak mempedulikan kecaman antarabangsa berhubung tindakan di Gaza dan menyeru negara Barat untuk bertanggungjawab.
Sepanyol, yang baru-baru ini menyertai beberapa negara Eropah mengiktiraf Negara Palestin secara rasmi akan menerima kehadiran Presiden Palestin, Mahmud Abbas pada Selasa, kata seorang pegawai di pejabatnya kepada AFP.
Abbas yang berpangkalan di Tebing Barat yang diduduki Israel, bersedia untuk bertemu Raja Sepanyol, Felipe VI dan Perdana Menteri, Pedro Sanchez, sebelum menuju ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung PBB.











