Apa tidak kena dengan Teluk Gong?

Apa tidak kena dengan Teluk Gong?

KEDUDUKAN kilang tayar betul-betul bersebelahan sungai disyaki membuang sisa-sisa bahan buangan mengakibatkan air sungai tercemar teruk dan bertukar hitam di Teluk Gong, Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hairan de­ngan kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan lain ‘menghidu’ operasi puluhan kilang haram kitar semula plastik dan tayar di Te­luk Gong berhampiran Pelabuhan Klang.

Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizudin Nasaruddin berkata, penduduk di kawasan itu mendakwa sudah 10 tahun kilang terbabit beroperasi di kawasan berkenaan dengan melakukan pencemaran terhadap alam sekitar.

Justeru menurut beliau, pi­haknya mengesyaki ‘ada yang tidak betul’ sehingga kilang-kilang haram tersebut boleh ber­operasi tanpa diganggu pi­hak berkuasa.

“Saya tidak menolak kemungkinan mereka yang membuka premis secara haram ini boleh `menutup mata dan telinga’ pihak berkuasa untuk terus beroperasi.

“Justeru, kita minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menyiasat perkara ini kerana kilang-kilang terlibat tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan kawasan Teluk Gong kini tercemar selepas bertukar bagai pusat pelupusan dan pemprosesan sisa industri, plastik dan tayar terpakai berskala ‘mega.’

Keadaan itu berlaku akibat kewujudan puluhan kilang disyaki beroperasi secara haram menjalankan kerja-kerja pemprosesan sisa buangan yang tidak melalui proses atau prosedur betul.

Mengulas lanjut, Hafizudin berkata, beliau turut mempersoalkan sikap sambil lewa PBT dan JAS untuk memantau premis haram yang mencemarkan alam sekitar.

“Kewujudan premis itu perlukan pemantauan PBT atau pejabat tanah. Jadi kita lihat kelemahan kedua-dua agensi menyebabkan mereka mendirikan kilang sesuka hati. Untuk mendirikan kilang memakan masa berbulan, bagaimana mereka tidak mengesan perkara ini?

“Apabila kilang sudah siap dan mereka mula beroperasi secara haram seperti pembakaran tayar dan pembuangan sisa pepejal dan industri di muara sungai, kenapa JAS tidak bertindak untuk memantau mereka?,” soalnya.

Susulan laporan pencemaran itu, beliau berkata, pihaknya bimbang dengan masa depan Teluk Gong yang sebelum ini merupakan kawasan hutan bakau.

Jelasnya, ‘zoning’ atau guna tanah pada peta lapisan aktif yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Diraja Klang (MPDK) 2035 memaparkan baki kawasan hutan (kotak hijau) Teluk Gong telah menjadi sedikit yang sepatutnya dikekalkan sebagai paya hutan bakau.

“Pada bahagian atas sebelah kiri kawasan itu dalam peta Google menunjukkan ia masih hutan bakau. Namun, di dalam peta MPDK, mereka telah diklasfikasikan kawasan itu sebagai kawasan industri.

“Jadi, berdasarkan ‘zoning’ ini, kawasan hutan bakau di Teluk Gong akan dimusnahkan dan dibuka sepenuhnya sebagai kawasan industri pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, aktivis alam sekitar, Emily Tan mendakwa, tindakan tidak serius dalam menangani isu sisa plastik menyebabkan kawasan tersebut dianggap sebagai pusat pelupusan bahan buangan berkenaan.

“Sisa yang dilupuskan di sana dipercayai dibawa masuk dari negara luar. Mustahil jumlah yang banyak sebegitu berasal dari dalam negara. Malah, ada sebahagiannya turut dibawa keluar hingga ke Sijangkang, Kuala Langat.

“Kena hentikan semua, stop the madness. Cukup-cukuplah, berapa ramai lagi yang kena sakit dan mati semata-mata untuk bolehkan kilang-kilang haram kaut untung,” tegasnya ketika dihubungi.

Beliau turut menggesa penduduk Kampung Teluk Gong bangkit mempertahankan hak mereka untuk tinggal dalam persekitaran bersih serta bebas daripada sebarang ancaman pencemaran yang membahayakan kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×