SERDANG: Industri florikultur menyumbang sebanyak RM2.68 bilion kepada eksport negara bagi tempoh 2018 hingga 2023 dan menjadikan ia industri bernilai tinggi.
Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata, industri florikultur merupakan sektor berpotensi besar untuk diteroka dan mampu menjana imbangan perdagangan yang positif buat ekonomi Malaysia.
Menurut beliau, Malaysia merupakan pengeksport florikultur ke-10 terbesar dunia dan merupakan peneraju utama dalam kalangan negara ASEAN dengan nilai eksport sebanyak RM405.3 juta pada tahun lalu.
“Justeru, Jabatan Pertanian telah diberi tanggungjawab untuk menonjolkan kepentingan dan peranan industri florikultur sebagai salah satu penyumbang kepada imbangan perdagangan positif bagi sektor pertanian melalui pameran konsep laman dan pengisian pelbagai aktiviti di Laman Florikultur,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Terdahulu, majlis perasmian Laman Agro-Food Florikultur ‘Miracle Garden’ oleh Jabatan Pertanian disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Perasmian tersebut bersempena penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, di sini.
Mengulas lanjut, Nor Sam berkata, laman tersebut menonjolkan lapan konsep tumpuan yang didekorasi bersama 100 jenis tanaman bunga-bungaan segar yang menjadi simbolik kepada penganjuran 100 tahun MAHA.
“Bunga matahari adalah tarikan utama ke laman ini kerana keunikan saiz yang besar dan warna kuningnya yang menawan.
“Pelbagai jenis bunga yang dipamerkan di laman ini merupakan simbolik kepada kepelbagaian etnik, agama, budaya dan tradisi di Malaysia yang menjadi cerminan kepada aspirasi Malaysia Madani dalam membentuk negara yang harmoni dalam kepelbagaian,” katanya. – UTUSAN











