Peralihan lebih cepat bila jumlah pengecas EV meningkat

Peralihan lebih cepat bila jumlah pengecas EV meningkat

SEHINGGA 25 Jun lalu, sebanyak 2,585 unit pengecas EV telah dipasang di seluruh negara, dengan taburan pengecas meliputi kesemua negeri kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENDERAAN elektrik (EV) dan stesen pengecas seumpama teka-teki ayam dan telur. Yang mana satukah perlu datang dahulu?

Sebenarnya, sukar untuk menjawab persoalan ini kerana, kedua-duanya perlu bergerak seiringan supaya kedua-dua dapat tumbuh dan berkembang di Malaysia.

Presiden Kelab Pemilik Kenderaan Elektrik Malaysia (MyEVOC), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, pertumbuhan EV untuk pasaran yang lebih meluas sememangnya bergantung juga pembangunan infrastruktur dan kemudahan untuk akses kepada stesen pengecas.

Katanya, kawasan Lembah Klang tidak mempunyai masalah dari segi masalah itu, tetapi ia akan menimbulkan jarak kebimbangan kepada pemandu apabila mereka melakukan perjalanan jarak jauh atau luar dari bandar utama.

“Kalau perjalanan di lebuh raya ke utara dan selatan mungkin tidak ada masalah. Cuma mungkin akan berlaku kesesakan atau perlu menunggu lebih lama semasa musim perayaan.

“Namun, jika membuat perjalanan ke Pantai Timur, mereka akan berdepan masalah kerana stesen pengecas masih kurang di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sehingga 25 Jun lalu, sebanyak 2,585 unit pengecas EV telah dipasang di seluruh negara, dengan taburan pengecas meliputi kesemua negeri kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini juga mengekalkan sasaran 10,000 titik pengecasan menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030.

Shahrol Azral berkata, jumlah EV di Malaysia tidak termasuk dua roda adalah sebanyak 29,505 setakat 30 Julai 2024.

Beliau berkata, pembinaan infrastruktur untuk pengecas EV dilihat agak perlahan pada tahun ini berbanding tahun lalu dan dikhuatiri akan memberi kesan kepada sasaran kerajaan untuk mempunyai 10,000 titik pengecasan menjelang 2025.

Katanya, bagi penyedia perkhidmatan pengecas EV pula, mereka juga berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan lokasi yang sesuai dan sama ada kapasiti tenaga elektrik di lokasi tersebut mampu untuk menampung pengecasan tersebut.

“Sebagai contohnya kawasan rehat dan rawat ( R&R) di lebuh raya, mungkin semasa ia dibina dahulu, kapasiti elektrik di situ sudah dipelan dengan untuk memenuhi keperluannya. Tetapi kini penggunaannya telah penuh.

“Oleh itu, jika stesen pengecas baharu mahu dibangunkan, kos pembangunan pencawang elektrik baharu perlu ditanggung dan dibayar oleh penyedia perkhidmatan itu sendiri,” ujarnya.

Beliau yang memiliki Tesla Model S sejak 2017 berkata, selain lebih mesra alam, kelebihan EV adalah kos penyelenggaran yang lebih rendah memandang pemilik tidak perlu untuk menukar minyak hitam apabila tiba masanya seperti kenderaan konvensional lain.

“Untuk kereta saya ini, sudah tujuh tahun guna tetapi brek pad belum lagi perlu ditukar. Apa yang menjadi tanda tanya adalah ketahanan baterinya. Berapa lamakah ia akan bertahan?

“Biasanya untuk menukar bateri harganya adalah sekitar 30 hingga 40 peratus dari harga kereta,” ujarnya.

Tambah beliau, perkara yang harus dipertimbangankan adalah kekurangan bengkel pihak ketiga untuk EV apabila kenderaan itu sudah mula meningkat usia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×