Sewaktu menuntut ilmu di pusat pengajian tinggi lebih sedekad lalu, bermain cinta itu suatu kepantangan besar dan dianggap sebagai pencuri masa seorang bergelar siswazah.
Sebabnya lebih banyak masa diisi dengan berkepit dengan pasangan berbanding rakan sekuliah.
Tahu ya beza antara wajah pelajar single dengan yang sudah berpunya. Saya memang kurang gemar melepak dengan pelajar yang sudah berpunya.
Perasaan mereka juga tidak sama dengan pelajar normal lain.
Cepat sentap dan cemburu tanpa usul periksa. Kadangkala tugasan yang harus disiapkan si lelaki, teman wanita itulah yang berhempas pulas menyiapkannya.
Yang lelaki goyang kaki saja. Bila ditanya mengapa, jawabnya ‘takut dan sayang kalau teman lelaki gagal’.
Masa belajar lagi sudah kena scam dengan teman lelaki.
Ada pula tu yang susah untuk diajak keluar sebab serba serbi kena mintak kebenaran macam anak yang mahu keluar dengan kawan-kawan, kena minta izin daripada ibu dan ayah. Sampai begitu sekali rasa kepatuhannya.
Masa belajar berkepit ke sana sini, apalah erti hidup sebagai graduan yang hakikatnya tidak perlu terikat dalam mencipta pengalaman dan ilmu sepanjang berada di universiti.
Mencari cinta sewaktu berada di alam pekerjaan cabarannya berbeza pula.
Si bujang ada tetapi belum stabil. Kalau pilih yang stabil ekonominya biasanya sudah punyai isteri dan anak.
Isunya sama ada sanggup berkongsi kasih dan berkorban masa pula. Namun usah terkejut kalau ada wanita yang sanggup menunggu biarpun berpuluh tahun tanpa ikatan.
Berbaloikah hidup dalam penantian? Kesuntukan masa dengan tanggungjawab sebagai pekerja, membataskan wanita mencari cinta, hingga ada yang terpedaya dengan penipuan cinta atau love scam.
Berdasarkan analisis, wanita paling ramai menjadi mangsa love scam dengan 79.3 peratus daripada keseluruhan 2,223 kes yang direkodkan dalam tempoh 2022 hingga Ogos lalu adalah.
Antara kategori umur terbabit dalam penipuan ini ialah 21 hingga 30 tahun, usia yang galak bergantung maklumat dengan internet.
Pada 2022, sebanyak 792 kes direkodkan membabitkan kerugian RM56.2 juta, manakala pada 2023, sebanyak 935 kes dengan kerugian RM43.9 juta.
Bagi tempoh tahun ini sehingga Ogos lalu, sebanyak 496 kes direkodkan membabitkan jumlah kerugian RM23.3 juta.
Mungkin kerana sikap terbuka wanita dalam aspek emosi dan hubungan peribadi memudahkan mereka dieksploit sindiket dalam merangka strategi bagi menimbulkan rasa empati?.
Cinta sebenarnya mengelirukan. Adakah hati wanita terikat sebab sayang atau memang mudah bersimpati?.
-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia










