Sektor pembinaan semakin rancak, kontrak ditawar melonjak kepada RM127 bilion - Utusan Malaysia

Sektor pembinaan semakin rancak, kontrak ditawar melonjak kepada RM127 bilion

MANDATORI caruman KWSP kepada para pekerja asing akan membebankan PMKS. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontrak pembinaan daripada sektor swasta dan sektor awam rata-ratanya giat dilaksanakan setakat ini apabila projek bernilai RM127 bilion ditawarkan sepanjang lapan bulan pertama 2024, 41 peratus lebih tinggi berbanding RM90 bilion yang dicatatkan sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Penganalisis RHB Investment Bank, Adam Mohamed Rahim, berkata apabila diteliti dengan lebih lanjut, nilai projek kerajaan yang ditawarkan sepanjang lapan bulan pertama tahun ini adalah RM33.5 bilion, hampir mencecah jumlah RM36 bilion yang direkodkan untuk seluruh tahun 2023.

“Perkara ini menandakan bahawa tawaran kontrak daripada sektor awam kian meningkat,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Beliau berkata, selain prospek pusat data (DC) dan transit aliran ringan (LRT) Pulau Pinang, maklumat terkini penting yang dinanti-nantikan ialah keputusan sama ada sistem LRT dengan anggaran nilai RM17 bilion atau Transit Aliran Autonomi Bertingkat (EART) dianggarkan RM7 bilion bakal dibina di Johor.

Katanya, rangkaian pengangkutan ini bertepatan dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal berlangsung dan ia dijangka dimeterai pada suku keempat ini.

“Langkah pemeriksaan awam oleh MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) juga bermula pada 2 September hingga 2 Disember ini untuk mengumpul maklum balas orang ramai mengenai jajaran berkenaan, lantaran menandakan projek ini masih sedang berjalan. 

“Selain itu, lebuh raya besar yang mungkin akan dimajukan lagi ialah Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (kira-kira RM5.8 bilion) dan Lebuh Raya Sungai Klang Link (kira-kira RM9 bilion),” katanya.

Adam berkata, melihat kebanyakan syarikat kontraktor besar mendaki rantaian nilai untuk melaksanakan kerja lebih rumit seperti kemudahan DC dan perindustrian berbanding projek bangunan hartanah, peluang kerja mungkin semakin luas terhidang buat syarikat kontraktor bersaiz sederhana seperti Vestland Bhd dan Inta Bina Group Bhd.

“Tambahan lagi, kawasan-kawasan seperti Kuala Lumpur menjadi semakin padat dengan penduduk mencecah 8.518 orang bagi setiap kilometer persegi pada 2023 berbanding 7,092 orang bagi setiap kilometer persegi pada 2013. 

“Hal ini memerlukan lebih banyak tempat kediaman dibangunkan untuk menampung kenaikan populasi,” katanya.

Dalam pada itu, Adam berkata, RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor pembinaan.

“Daripada 10 syarikat di bawah liputan kajian kami yang melaporkan keputusan kewangan, tiga mencatatkan keputusan yang menepati ramalan, dua mengatasi jangkaan dan lima lagi gagal mencapai anggaran. 

“Keseluruhannya, kami yakin syarikat-syarikat kontraktor patut terus mengaut bil peringkat siap lebih baik, seperti yang terbukti oleh jumlah nilai kerja yang dijalankan sebanyak RM38.9 bilion, iaitu nilai tertinggi yang pernah direkodkan,” katanya. 

Bank pelaburan itu menjadikan Gamuda Bhd.,Kerjaya Prospek Bhd dan Sunway Construction Group Bhd sebagai syarikat pilihan utama berikutan aliran kontrak yang kukuh serta kebolehlihatan perolehan yang baik sepanjang dua tahun akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×