KLANG: Sebuah sekolah rendah Islam dan pusat pertubuhan kebajikan di Bandar Bukit Raja di sini, dipercayai antara dua premis yang diserbu polis hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati kedua-dua premis yang berada dalam taman perumahan berasingan itu sudah ditutup dan tiada kelibat pelajar ataupun kakitangan berada dis sana.
Seorang pengawal keselamatan berusia 30-an dikenali berkata, dia melihat beberapa kenderaan polis termasuk van berada di kawasan perumahan itu pagi tadi.
“Sekolah rendah itu sememangnya hanya berada berdekatan pondok pengawal di taman ini. Saya juga tidak pasti apa yang berlaku dan polis dilihat beredar kira-kira pukul 8.30 pagi tadi,” katanya ketika ditemui.
Tambah beliau, sekolah itu dipercayai beroperasi lebih tiga tahun lalu yang rata-ratanya melibatkan murid kecil.
Sementara itu, usaha untuk meninjau ke sebuah pusat pertubuhan kebajikan berdekatan gagal kerana dikawal pengawal keselamatan bertugas.
Menerusi maklumat diterima pemberita, terdapat dua lagi premis di sekitar Bandar Bukit Raja didapati berada dalam kawasan perumahan berpagar juga dilaporkan diserbu.
Terdahulu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi gerakan Op Global.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan.
Hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.
Susulan kes itu, seramai 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita berusia 17 hingga 64 tahun.
Berdasarkan maklumat dan siasatan, polis mengesyaki bahawa sebuah syarikat melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Selain itu, mangsa mendakwa diajar, dididik untuk meliwat dan seterusnya diliwat oleh penjaga serta dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.
Kertas siasatan yang dibuka antaranya mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Mencabul Kehormatan). – UTUSAN










