DAP wajar ‘singkir’ PKR, UMNO dari PH - Gerakan

DAP wajar ‘singkir’ PKR, UMNO dari PH – Gerakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP sepatutnya ‘menyingkirkan’ PKR dan UMNO dari gabungan Pakatan Harapan (PH) berikutan sering tidak bersependapat dalam beberapa isu sehingga mencetuskan konflik.

Pandangan itu disuarakan Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Wendy Subramaniam yang mempersoalkan pendirian DAP untuk kekal berada bersama PKR dan UMNO berhubung isu sijil halal.

“Jika DAP begitu yakin dengan kemampuan mereka memimpin seperti didakwa semasa berada di pihak pembangkang, mungkin sudah tiba masanya untuk menunjukkan kepemimpinan itu dengan menyingkirkan rakan kongsi gabungan mereka yang mencetuskan isu hingga membebankan komuniti yang mereka dakwa hendak bela.

“Gerakan percaya bahawa jika DAP benar-benar serius memperjuangkan kepentingan rakyat, terutama golongan yang rasa terbeban dengan keputusan (sijil halal) ini, mereka patut bertindak dengan tegas.

“Mengapa kekal dalam gabungan dengan parti-parti yang kelihatan bercanggah dengan prinsip mereka? Usirkanlah mereka daripada komponen kerajaan, jangan menjadi MCA atau Gerakan yang mereka kutuk dulu, dalam kerajaan tetapi tiada kuasa untuk buat keputusan. Jika mereka komited kepada keadilan seperti yang mereka katakan, mungkin sudah tiba masanya untuk mereka bertindak, ambillah tindakan segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menegaskan, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mewajibkan pensijilan halal kepada semua peniaga tidak menyentuh pun isu 3R iaitu kaum, agama dan raja.

Justeru, Guan Eng menegaskan, DAP akan terus ‘berdiri bersama’ Teresa serta menyediakan bantuan guaman kepadanya untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.

Guan Eng berkata, Teresa hanya menjalankan tugas sebagai seorang ahli Parlimen untuk menyatakan pandangan dan kebimbangan disuarakan pelbagai pihak termasuk para pengundinya.

Selain itu, Wendy berkata, tumpuan Gerakan tetap pada kebajikan semua rakyat. 

“Kami di sini mahu memastikan suara setiap komuniti didengar dan dihormati. Kami berharap penyelesaian yang konstruktif dapat dicapai demi kesejahteraan negara kita yang berbilang kaum,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×