HANOI: Sebuah jambatan di utara Vietnam runtuh selepas dilanda Taufan Yagi, yang sehingga ini sudah meragut lebih 100 nyawa sejak melanda negara itu, Sabtu lalu.
Rakaman kamera papan pemuka menunjukkan detik Jambatan Phong Chau di wilayah Phu Tho runtuh pada Isnin, sehingga menyebabkan beberapa kenderaan terhumban ke dalam air.
Detik sebuah lori terjunam ke dalam air apabila bahagian geladak jambatan runtuh sebelum pemandu sempat berhenti juga sempat dirakam oleh kamera.
Sehingga sekarang, sekurang-kurangnya tiga orang diselamatkan dari sungai tersebut dan operasi mencari sedang dijalankan bagi mengesan 13 lagi yang masih hilang.
Sebahagian daripada struktur sepanjang 375 meter masih utuh, dan tentera dikerahkan untuk membina jambatan sementara bagi menyeberangi jurang tersebut secepat mungkin.
Timbalan Perdana Menteri, Ho Duc Phoc berkata, sebanyak 10 kereta dan dua skuter terjatuh ke dalam Sungai Merah selepas runtuhan Jambatan Phong Chau.
Taufan paling kuat yang melanda Vietnam dalam tempoh 30 tahun menyebabkan kehancuran di seluruh utara negara tersebut, dengan 1.5 juta penduduk terputus bekalan elektrik.
Hampir 50,000 orang dipindahkan dari bandar-bandar pantai di Vietnam, dengan pihak berkuasa mengeluarkan amaran agar kekal di dalam rumah, manakala sekolah-sekolah ditutup sementara di 12 wilayah utara, termasuk Hanoi.
Sebelum ini, taufan Yagi melanda selatan China dan Filipina sehingga meragut 24 nyawa.
Taufan tersebut boleh membawa kelajuan angin yang lebih tinggi dan hujan yang lebih lebat, walaupun pengaruh perubahan iklim terhadap setiap ribut adalah rumit. -AGENSI











