Dua ditahan disyaki sebabkan pencemaran kimia

Dua ditahan disyaki sebabkan pencemaran kimia

PENGAWAL keselamatan, Marsita Mustafa meletak tanda sekolah ditutup berikutan isu pencemaran bau dari Sungai Tebrau di SK Kampung Maju Jaya di Kampung Maju Jaya, Johor Bahru. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori dan kelidannya ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pencemaran bahan kimia di beberapa kawasan di daerah ini dan Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dua lelaki berusia 23 dan 28 tahun itu ditahan pukul 11 malam semalam di sebuah pangsapuri di daerah ini.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya bebas pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-duanya ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan selama tujuh hari hingga Isnin depan dan kes disiasat bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun atau denda atau kedua-dua­nya sekali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua suspek sebelum ini ditahan kerana membuang bahan kimia di Sungai Linggiu berhampiran Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi pada 4 September lalu.

Selasa lalu, penduduk Kampung Melayu Pandan, di sini mengalami pening dan loya disebabkan pencemaran bau kimia yang turut menyebabkan sebuah tadika dan sekolah agama diarahkan tutup.

Rabu lalu, pencemaran bahan kimia dikesan di Kampung Orang Asli Pasir Intan manakala pada Jumaat pula dikesan di di Kawasan Industri Desa Tropika, Johor Jaya.

Terbaharu pencemaran bahan kimia dikesan di Sungai Skudai, Skudai di sini, semalam.

Sementara itu, tiga buah sekolah di daerah ini diarahkan tutup akibat pencemaran bau.

Pengerusi Jawatankuasa Pen­didikan dan Penerangan ne­geri, Aznan Tamin berkata, ti­ga sekolah ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya; Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Mene­ngah Islam Hidayah.

“Penutupan ini melibatkan seramai 974 murid dan 64 guru SK Kampung Maju Jaya; 1,232 murid dan 92 guru di Sekolah Rendah Islam Hidayah, manakala 807 pelajar dan 75 guru di Sekolah Menengah Islam Hidayah.

“Ketiga-tiga sekolah ini akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada hari ini (semalam),” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini