BUTTERWORTH : Pulau Pinang berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global bagi sektor pembuatan elektronik ketika ini susulan pembukaan kilang kedua milik syarikat penyedia papan litar bercetak (PCB) iaitu Elna PCB Malaysia Sdn. Bhd. (Elna PCB).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan Elna PCB yang sudah 30 tahun beroperasi di negeri ini untuk mengembangkan operasi syarikatnya membuktikan bahawa Pulau Pinang sebagai lokasi yang mampan untuk pelaburan.
“Pembinaan kilang kedua PCB di Malaysia dan Pulau Pinang ini khususnya tidak hanya meningkatkan kapasiti pengeluaran sedia ada, namun, ia juga memindahkan teknologi pembuatan yang lebih canggih.
“Pada masa yang sama, lebih banyak tenaga pakar tempatan dapat dihasilkan dalam teknologi berkenaan serta bakal mewujudkan sehingga lebih 1,000 peluang pekerjaan yang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian kilang berkenaan di Perai di sini yang turut dihadiri oleh Presiden Elna, Ian Yang; Presiden Kumpulan Perniagaan Passive System Alliance (PSA) PCB, Lance Tao serta beberapa kenamaan lain.
Terdahulu, majlis pecah tanah untuk projek pembesaran kilang bernilai RM1 bilion oleh syarikat yang berpangkalan di Taiwan itu telah dilakukan oleh Kon Yeow sendiri iaitu pada 18 Februari tahun lepas.
Dalam pada itu, Yang memberitahu, fasa pertama pengeluaran kilang berkenaan yang melibatkan penghasilan sehingga 300,000 kaki persegi PCB mampu memenuhi keperluan industri automotif, pelayan, peralatan rangkaian, pengkomputeran peribadi serta sektor elektronik kepenggunaan ketika ini.
“Memandangkan permintaan terhadap PCB canggih dan berkualiti tinggi meningkat, maka, kami menyasarkan kapasiti pengeluaran penuh kilang ini mencecah sehingga satu juta kaki persegi pada masa depan.
“Fasiliti (kilang) sedia ada akan terus menghasilkan PCB jenis dua muka dan pelbagai lapisan manakala kilang baharu pula mempunyai keupayaan untuk menghasilkan PCB yang lebih canggih dan fleksibel bagi memenuhi keperluan semasa pengguna,” ujar beliau.-UTUSAN











