MANILA: Filipina tidak berhasrat mengekstradisi paderi Apollo Quiboloy bagi berdepan pertuduhan kes jenayah di Amerika Syarikat (AS) selepas dia ditahan pihak berkuasa semalam di Davao, selatan negara ini.
Presiden, Ferdinand Marcos hari ini berkata, buat masa ini pihak berkuasa akan memberi tumpuan kepada kes paderi itu di Filipina.
“Kami tidak membuat sebarang pertimbangan berhubung proses ekstradisi Quiboloy ke AS,” tegas beliau seperti laporan Channel News Asia.
Marcos dalam pada itu memuji kecekapan polis yang berjaya menahan paderi tersebut selepas pemburuan dilakukan selama dua minggu.
“Kami akan membuktikan kepada dunia bahawa Filipina mempunyai sistem kehakiman yang tegas,” katanya.
Quiboloy, 74, yang mengaku sebagai ‘anak tuhan’ dan sekutu bekas Presiden, Rodrigo Duterte, ialah pengasas gereja Kingdom of Jesus Christ yang berpangkalan di Filipina yang mempunyai berjuta-juta ahli.
Di Filipina, dia berdepan dakwaan pemerdagangan manusia.
Jabatan Kehakiman AS pula mendakwa Quiboloy pada 2021 kerana pemerdagangan seks melibatkan gadis dan wanita berusia antara 12 dan 25 tahun untuk bekerja sebagai pembantu peribadi atau ‘pastoral’, yang dikehendaki melakukan hubungan seks dengannya.- AGENSI










