Taufan Yagi ragut 21 nyawa di utara Vietnam

Taufan Yagi ragut 21 nyawa di utara Vietnam

TAUFAN Yagi meragut empat nyawa di pulau Hainan selatan China dan 20 lagi maut di Filipina.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Taufan Yagi, ribut paling kuat di Asia tahun ini, beransur lemah semalam selepas mengorbankan 21 nyawa dan menyebabkan kerosakan pada kilang serta infrastruktur di utara Vietnam.

Bagaimanapun, Agensi Meteorologi Vietnam memberi amaran mengenai risiko banjir dan tanah runtuh ketika ribut itu bergerak ke arah barat.

Kelmarin, Taufan Yagi menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan telekomunikasi di ibu negara Vietnam, Hanoi, selain mengakibatkan banjir besar, pokok tumbang serta merosakkan banyak rumah.

Bencana itu juga mengorbankan 21 orang di Vietnam dan mencederakan 229 yang lain, menurut anggaran awal daripada kerajaan.

Terdahulu, taufan itu meragut empat nyawa di pulau Hainan selatan China dan 20 lagi maut di Filipina, negara pertama dilanda Yagi minggu lepas.

Di Haiphong, sebuah bandar pesisir Vietnam dengan dua juta penduduk, yang menempatkan kilang beberapa syarikat multinasional, taman perindustrian kekal ditutup semalam.

Ketua Zon Perindustrian DEEP C, Bruno Jaspaert berkata, sekurang-kurangnya 80 peratus kilang rosak, tetapi taman perindustrian tidak dinaiki air.

“Kerosakan pada kilang sangat ketara. Beberapa kilang kehilangan bumbung kerana ribut kuat,” katanya.

Bencana itu juga menyebabkan beberapa lebuh raya di utara negara dinaiki air atau mengalami gangguan, lapor media kerajaan yang mengeluarkan gambar serta rakaman tanah runtuh.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×