Saya bukan 'lame duck' - Kon Yeow

Saya bukan ‘lame duck’ – Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika bercakap kepada pemberita di George Town, Pulau Pinang, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjelaskan, beliau bukan seorang ‘lame duck’ atau itik tempang dalam arena politik negeri ini seperti dakwaan sesetengah pihak selepas memutuskan untuk tidak bertanding jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang, 22 September ini.

Menurut Kon Yeow, walaupun tanpa jawatan sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang selepas ini, beliau akan tetap meneruskan agenda kerajaan negeri dengan melaksanakan segala program serta projek di negeri itu selain meneruskan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

“Ada kenyataan bahawa dengan tidak ada jawatan Pengerusi (DAP) negeri, saya akan seolah-olah menjadi seperti ‘lame duck CM’ (Ketua Menteri yang diibaratkan sebagai itik tempang).

“‘Lame duck’ ini adalah konsep di Amerika Syarikat di mana ada dua kumpulan politik yang besar, selalunya melibatkan pengundian di dalam kongres dan sebagainya.

“Tetapi, dalam konteks Pulau Pinang, kerajaan adalah sayap eksekutif yang akan teruskan dengan pelaksanaan dan jarang sekali ada keperluan untuk mendapat sokongan legislatif,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Sebelum ini iaitu pada 5 Ogos lalu, Kon Yeow telah mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang akan berlangsung 22 September ini.

Ketika pemilihan yang sama diadakan tiga tahun yang lalu, Kon Yeow telah dipilih menjadi Pengerusi DAP negeri dengan undian tertinggi, iaitu selepas memiliki majoriti sebanyak 1,211 undi.

Untuk rekod, beliau telah berkhidmat sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang selama 25 tahun selain lapan tahun berkhidmat sebagai Setiausaha DAP negeri sebelum itu.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Naib Presiden DAP Kebangsaan berkata, tidak ada halangan untuk beliau menjalankan agenda kerajaan negeri selepas tidak lagi memegang jawatan Pengerusi DAP negeri selepas ini.

“Saya akan memfokuskan perhatian untuk kerja-kerja yang wajib. Banyak projek yang pada peringkat permulaan, ada yang menunggu kelulusan, ada Penang 2030 Vision, ada Manifesto 2023 yang perlu ditunaikan. Maka, jentera kerajaan akan fokus kepada isu-isu sedemikian.

“Saya lihat tidak ada yang menghalang jentera kerajaan yang dipimpin oleh saya untuk melaksanakan segala program serta projek negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×