Minta kerajaan negeri sediakan surau bergerak di pasar malam

Minta kerajaan negeri sediakan surau bergerak di pasar malam

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Peniaga pasar malam menyambut baik langkah kerajaan negeri yang mewajibkan operasi perniagaan dihentikan seketika semasa waktu Maghrib bagi menghormati dan menunaikan solat berkenaan.

Bagaimanapun, mereka meminta agar kerajaan negeri turut menyediakan surau bergerak khususnya di kawasan pasar malam yang jauh dari surau atau masjid bagi memudahkan peniaga dan pengunjung menunaikan solat.

Seorang peniaga pasar malam, Md. Azam Md Ali,39, berkata, tidak semua pasar malam di ne­geri ini yang berdekatan dengan masjid dan surau bergerak untuk lelaki dan wanita itu dilihat menjadi keperluan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peniaga martabak yang sudah lima belas tahun berniaga di pasar malam itu berkata, sebelum ini, rata-rata peniaga juga meninggalkan seketika atau bergilir-gilir dengan rakan sekerja lain untuk menunaikan solat berkenaan.

Katanya, sememangnya tidak dapat dinafikan waktu kemuncak berniaga di pasar malam adalah pada waktu Maghrib namun kewajipan menunaikan solat itu perlu dilaksanakan.

“Kita akan ikut arahan tersebut dan dalam masa sama meminta kerajaan negeri menyediakan surau bergerak untuk kemudahan para peniaga dan orang ramai di pasar malam ini.

“Ada pasar malam yang dekat dengan masjid dan surau manakala sesetengah pasar malam pula kemudahan itu agak jauh. Sebaik-baiknya sediakan surau bergerak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, semua peniaga pasar malam di Perlis diwajibkan memberhentikan operasi perniagaan mereka semasa waktu Maghrib bagi menghormati dan menunaikan solat berkenaan berkuat kuasa pada 15 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil dilaporkan berkata, keputusan itu adalah selaras dengan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang bersidang pada 21 Ogos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini