IPOH: Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan pegawai kanan polis, Mohd. Nazri Abdul Razak untuk dibebaskan dengan jaminan atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki tingkatan lima, tahun lalu.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan istimewa yang mewajarkan perintah agar permohonan bagi mendapatkan jaminan dibenarkan.
Ketika membacakan keputusannya, Bhupindar berkata, berdasarkan naratif dikemukakan pihak pendakwaan, terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa adanya kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan.
“Tiada sebarang keadaan istimewa dikemukakan pihak pembelaan bagi permohonan jaminan berkenaan. Selepas mengambil kira hujahan balas diberikan kedua-dua pihak, mahkamah dengan ini menolak permohonan jaminan terhadap tertuduh.
“Mahkamah telah menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan kes ini dan pihak pendakwaan diingatkan untuk memastikan saksi-saksi hadir, “ katanya.
Sementara itu, di luar mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu pemberita, dua alasan dipertimbang mahkamah untuk menolak permohonan jaminan tersebut.
Katanya, pihak pembelaan mengemukakan keselamatan keluarga tertuduh terancam susulan kes berkenaan telah tular, namun pihak pendakwaan mendapati tiada siasatan lanjut dibuat polis.
Jelasnya, alasan kedua berkaitan keselamatan dan nyawa tertuduh di penjara terancam kerana bercampur dengan banduan lain setiap kali transit balik dari mahkamah.
“Pihak pendakwaan berpendapat, isu tersebut tidak wajar dibangkitkan dalam afidavit kerana pihak penjara tidak pernah halang atau mewujudkan sekatan tertuduh berjumpa peguam,” katanya.
Selain Afzainizam, pihak pendakwaan turut diwakili Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili Peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.
Hadir sama, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid. – UTUSAN










