Malaysia tidak ketandusan atlet para

Malaysia tidak ketandusan atlet para

EDDY meraih pingat gangsa di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan pelari 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal), Eddy Bernard merangkul gangsa di Sukan Paralimpik Paris 2024 membuktikan kontinjen para negara tidak ketandusan atlet.

Atlet dari Sabah itu pada mulanya bertanding bagi acara lompat jauh T44, T62/64 (cacat anggota kaki) dan pernah memenangi emas di Sukan Para Asia Jakarta 2018 sebelum beralih ke acara trek.

Selain memenangi gangsa, catatan masa yang dilakukan Eddy, 11.5 saat (s) turut memperbaharui rekod baharu Asia namun jurulatihnya, Hamberi Mahat mengakui proses yang dilalui bukan satu kerja yang mudah.

Katanya, program pemerkasaan yang dilakukan dalam tempoh dua bulan menuju Paralimpik Paris 2024 berjaya membuahkan hasil semuanya kerana usaha gigih yang ditunjukkan oleh Eddy.

“Sebenarnya Eddy seorang yang mudah dijaga, berdisiplin dan bermotivasi tinggi jadi tak susah dalam masa dua bulan untuk saya beritahu dan untuk dia melaksanakan tugas di trek dan gimnasium.

“Memang dalam masa singkat dua bulan sukar untuk perbaiki tapi atas semangat dan personaliti dia yang mudah serta berdisiplin tinggi memang berbaloi.

“Eddy boleh pergi lebih jauh lagi kerana dalam masa dua bulan boleh perbaiki daripada dia menang perak di Sukan Para Asia 2022 dengan 11.86s, kita kurangkan kepada 0.3s dalam dua bulan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berharap kejayaan Eddy dapat meneruskan legasi pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016, Mohamad Ridzuan Puzi.

“Eddy boleh pergi lebih jauh. Kalau boleh kita nak bakat baharu yang boleh menggantikan Dik Wan (Ridzuan) jadi, Eddy pun boleh jadi penggantinya,” katanya.

Ridzuan gagal melayakkan diri secara merit ke Paralimpik Paris 2024 selepas tidak mencapai masa terbaiknya ketika Kejohanan Olahraga Dunia di Kobe, Jepun Mei lalu yang mana dia menamatkan saingan dengan catatan 12.50s jauh di bawah rekod peribadinya, 11.87s.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×