PETALING JAYA: Jarak 0.03 meter (m) atau tiga sentimeter menjadi pemisah untuk atlet lompat jauh para negara, Wong Kar Gee meraih pingat gangsa di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Kar Gee melakukan lompatan 6.85m pada percubaan pertama namun, jarak itu dipintas di saat akhir oleh pemenang pingat gangsa dari Argentina, Fernando Vazquez yang membuat 6.88m.
“Memang kecewa tidak dapat gangsa. Ada orang cakap nombor empat ialah kedudukan terburuk tetapi bagi saya ia menaikkan semangat saya untuk lebih kuat berlatih.
“Berdasarkan pengalaman saya, perkara ini pernah berlaku di kejohanan berbeza sebelum ini jadi emosi saya masih belum dapat memprosesnya. Memang ada rasa sedih,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai lompatannya di Stade de France, semalam, Kar Gee akui dia tidak berada di tahap terbaiknya dan perlu memperbaiki kelajuan larian bagi menghadapi kejohanan pada masa akan datang.
“Apa yang ada dalam minda saya adalah untuk melompat lebih jauh. Saya mengharapkan lompatan terakhir lebih jauh tetapi tidak berlaku.
“Saya tidak beraksi dengan baik. Kelajuan juga kurang, saya tidak pasti mengapa. Saya boleh lakukan lebih baik ketika latihan, tubuh saya tidak berada di tahap terbaik,” katanya lagi.
Emas dalam acara lompat jauh lelaki T12 (kecacatan penglihatan) itu dimenangi atlet Azerbaijan, Said Najafzade dengan 7.27m dan Donior Saliyev dari Uzbekistan meraih perak (7.16m).-UTUSAN










