Russia import komponen elektronik dari India, guna untuk perang di Ukraine? - Utusan Malaysia

Russia import komponen elektronik dari India, guna untuk perang di Ukraine?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Russia dipercayai menyeludup komponen elektronik dari India untuk digunakan dalam peperangan terhadap Ukraine, dedah Financial Times semalam yang memetik dokumen sulit kerajaan dan sumber-sumber tidak dikenali.

Menurut Financial Times, Konsortium Aktiviti Ekonomi Asing dan Kerjasama Antarabangsa dalam Industri (Ved MMKP) yang berpangkalan di Moscow melaporkan kepada Kementerian Industri dan Perdagangan Russia pada Oktober 2022, pihak mereka membelanjakan AS$976,650 (RM4.23 bilion) untuk komponen yang sebelum ini dibeli melalui negara-negara Barat.

Komponen-komponen itu termasuk untuk kegunaan awam dan ketenteraan dalam industri telekomunikasi, pelayan dan peralatan elektronik kompleks, menjadikannya tertakluk kepada kawalan eksport Barat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun sekatan Barat menghalang akses Russia kepada komponen elektronik yang dihasilkan di luar negara, tentera Moscow masih bergantung kepada komponen-komponen itu untuk pembuatan peluru berpandu, dron dan peralatan perang.

Jelas Financial Times, laporan Ved MMKP memperincikan rancangan untuk melaksanakan transaksi melalui sistem pembayaran tertutup antara syarikat Russia dan India bagi mengelak dikesan Barat.

Laporan sama menyebut, Russia memperoleh pendapatan lumayan hasil jualan minyak ke India walaupun dikenakan sekatan Barat, dengan perdagangan antara kedua-dua negara mencatat hampir dua kali ganda kepada AS$65 bilion (RM282 bilion) pada tahun lalu.

Walaupun tidak jelas bagaimana Russia memperoleh komponen elektronik berkenaan, dokumen kastam menunjukkan bahawa eksport elektronik dari India seperti yang disenaraikan dalam laporan Ved MMKP, meningkat dengan ketara sejak pertengahan 2022.

Sebuah syarikat India, Innovio Ventures dilapor membekalkan sekurang-kurangnya AS$4.9 juta (RM21.2 juta) nilai barangan elektronik termasuk dron kepada Russia dan mengirimkan barangan bernilai AS$600,000 (RM2.6 juta) lagi ke Kyrgyzstan, yang menjadi laluan belakang mengimport barang ke Russia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini