Mierul Aiman nafi hanya pandang tawaran filem - Utusan Malaysia

Mierul Aiman nafi hanya pandang tawaran filem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Mierul Aiman menafikan dakwaan segelintir pihak yang beranggapan dirinya mula bersikap selektif dengan hanya memberikan fokus kepada tawaran filem berbanding naskhah drama televisyen.

Mierul atau Mohammad Amirul Aiman Norazman, 28, berkata baik drama rantaian atau filem, masing-masing mempunyai nilai seni tersendiri untuk dipersembahkan kepada penonton.

“Saya percaya setiap karya itu adalah sesuatu yang mulia. Tidak kira filem, drama atau siri, setiap kali saya berada di hadapan kamera, tanggungjawab saya adalah untuk menterjemah cerita tersebut kepada penonton.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang benar menjadi pelakon filem adalah misi saya sejak hari pertama sebelum menyertai Hero Remaja lagi.

“Namun, saya tidak akan berhenti di sini dan akan terus berjuang dalam industri. Maksudnya, saya masih akan tetap berlakon drama,” katanya ketika ditemui semasa majlis pengumuman calon Top 5 Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pencalonannya bagi kategori Pelakon Harapan Lelaki menerusi filem Tarung: Unforgiven, pelakon yang meledak menerusi drama Projek: High Council ini menyifatkan pencalonan itu sebagai satu bentuk kepercayaan daripada penggiat industri.

Ujarnya, pencalonan tersebut juga merupakan isyarat bahawa dia kini berada di landasan yang betul dalam kerjaya seninya.

“Mendapat anugerah atau pencalonan adalah satu maklum balas yang sangat baik untuk kerja saya. Saya melihat anugerah ini sebagai satu sumber kepercayaan yang memberikan saya semangat untuk terus berjuang.

“Bagi saya, ‘peperiksaan’ sebenar adalah ketika saya berada di set penggambaran untuk mencapai objektif karakter yang ditulis. Pencalonan FFM pula adalah bonus yang mengesahkan perjalanan saya ini berada di jalan yang benar,” jelasnya lagi.

Mierul bakal bersaing dengan empat lagi calon hebat bagi kategori tersebut iaitu Merah Muhaimin (Abah Saya Uncle Mike), Shahfi Rafiq (Indera), Tom Phane (Circus of Life, Xid Haikal (Denu).

Malam kemuncak FFM35 yang dijadualkan berlangsung pada 21 November depan bertempat di Istana Budaya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini