5 maut Israel bedil kereta di Tebing Barat - Utusan Malaysia

5 maut Israel bedil kereta di Tebing Barat

KENDERAAN berperisai tentera Israel menyerbu sepanjang jalan di Tulkarm, dalam operasi ketenteraan di utara Tebing Barat.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEBING BARAT: Lima terbunuh sementara seorang lagi cedera parah selepas serangan tentera Israel mengenai sebuah kereta di Tubas, Tebing Barat awal pagi ini.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga serangan itu dilancarkan Israel ke kedudukan kumpulan pejuang di Tubas, namun satu daripadanya terkena kenderaan berkenaan.

Saksi memberitahu AFP, beberapa letupan turut kedengaran setelah sekumpulan tentera Israel yang terlibat dalam operasi ketenteraan itu dilihat menggempur Kem Pelarian Faraa di Tubas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Arab News yang memetik Kementerian Kesihatan, sehingga kini lebih 30 orang termasuk kanak-kanak dan anggota kumpulan pejuang terbunuh apabila tentera rejim Zionis mula menyerang Tebing Barat.

Israel menjajah Tebing Barat sejak 1967 dan mula mempergiatkan serangan terhadap penduduk awam di sini ketika konflik di Gaza masih berterusan selama 11 bulan.

Hujung bulan lalu, tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran dan serbuan udara di beberapa kawasan di Tebing Barat, mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin terkorban.

Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan melancarkan operasi anti-keganasan pada waktu malam itu bersama dengan Agensi Keselamatan Israel (ISA) di kawasan Jenin dan Tulkarem di utara Tebing Barat.

Operasi ketenteraan Israel itu melibatkan angkatan tentera dan keselamatan, empat batalion Polis Sempadan Israel dan unit elit tentera penyamaran menggunakan pelbagai jenis senjata termasuk dron dan jentolak.

Rakaman video yang diperoleh oleh CNN menunjukkan jentolak merobohkan jalan di kawasan yang padat dengan penduduk di Tulkarem sebelum bergerak melalui Jenin. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini