WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah pesawat milik Presiden Venezuela, Nicolas Maduro di Republik Dominika selepas mendapati pembeliannya melanggar sekatan.
Peguam Negara AS, Merrick Garland dalam satu kenyataan berkata, pesawat Dassault Falcon 900EX berharga AS$13 juta (RM56.6 juta) itu dibeli secara haram melalui sebuah syarikat serta diseludup keluar dari AS untuk kegunaan Maduro dan sekutunya.
Siasatan Jabatan Kehakiman mendedahkan, seorang individu yang mempunyai kaitan dengan Maduro pada akhir 2022 atau awal tahun lalu, menggunakan sebuah syarikat berpangkalan di Caribbean untuk menyembunyikan pembelian haram pesawat tersebut.
Pesawat itu kemudian dieksport secara haram dari AS ke Venezuela melalui Caribbean tahun lalu.
Sejak itu, ia melakukan penerbangan berulang kali ke dan dari sebuah pangkalan tentera Venezuela serta digunakan untuk manfaat Maduro dan wakilnya termasuk semasa lawatan ke negara lain.
Kerajaan Venezuela yang mengesahkan Presidennya menggunakan pesawat tersebut dan menggelar tindakan AS merampas jet peribadi itu sama seperti lanun.
Rampasan itu dibuat selepas Maduro berdepan tekanan dari dalam dan luar negara berhubung pilihan raya 28 Julai lalu, apabila kemenangannya dipertikaikan.
Maduro dan sekutunya dikenakan sekatan oleh Washington ekoran cara pengendalian kerajaan terhadap pilihan raya berkenaan.
Menurut pegawai AS, rampasan itu dilakukan dengan kerjasama rapat daripada Republik Dominika.
Hujah pegawai AS bahawa penjualan dan eksport pesawat itu melanggar sekatan mungkin tidak akan diterima oleh Maduro, yang sebelum ini berulang kali menuduh Washington campur tangan dalam urusan dalaman negaranya.











