TUNIS: Polis Tunisia menahan pemimpin pembangkang, Ayachi Zammel semalam, hanya beberapa jam sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan beliau sebagai calon menentang Presiden, Kais Saied.
Penahanan itu dibuat pada awal pagi semalam, sekali gus mengesahkan dakwaan menyatakan suruhanjaya pilihan raya akan menyingkirkan calon yang ingin bertanding.
Kumpulan hak asasi manusia menuduh Kais cuba ‘membersihkan’ persaingan politik.
Menurut pengurus kempen Ayachi, Mahdi Abdeljaouad, pemimpin berkenaan dibawa ke balai polis di luar ibu negara Tunis atas tuduhan memalsukan sokongan supaya dapat menyertai pilihan raya.
“Ini adalah tuduhan bermotifkan politik. Ia tidak masuk akal,” katanya seperti dilapor Al-Jazeera.
Seorang lagi calon yang disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya adalah Zouhair Maghzaoui dari parti sayap kiri, Parti Rakyat.
Sebelum ini, Human Rights Watch (HRW) menuduh kerajaan Tunisia menyekat pesaing Kais daripada mencabarnya dalam pilihan raya yang akan diadakan pada 6 Oktober ini.
Kais yang berhasrat meneruskan pentadbiran pada penggal kedua, memenangi pilihan raya pada 2019.
Namun, beliau kemudian mengatur rampasan kuasa besar-besaran pada 2021, mengakibatkan penggantungan Parlimen dan memerintah dengan dekri.
Ketika itu, tokoh-tokoh pembangkang turut dipenjarakan.










