AI bantu pesakit patuh janji temu, makan ubat

AI bantu pesakit patuh janji temu, makan ubat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini, janji temu di kebanyakan klinik kesihatan di seluruh Malaysia masih menggunakan kaedah konvensional atau tradisi. 

Situasi itu menyebabkan rata-rata pesakit sering terlepas dan gagal hadir pemeriksaan susulan yang ditetapkan garagara terlupa. 

Akibatnya, mereka perlu menunggu satu tarikh lain yang lebih panjang untuk penjadualan semula temu janji baharu. 

Bekas Naib Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Norhaizam Mohammad berkata, sudah sampai masanya kerajaan melabur dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengatasi isu kegagalan hadir ke janji temu klinik kesihatan. 

Katanya, langkah itu penting bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan primer di Malaysia. “Janji temu pemeriksaan susulan di klinik kesihatan contohnya bagi tempoh tiga atau enam bulan akan datang biasanya ditulis di buku kecil atau booklet. 

“Kerajaan seharusnya mempertimbangkan penggunaan teknologi bagi mengingatkan pesakit tentang janji temu sekali gus dapat memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa terkawal,” katanya dalam sesi bertajuk Inovasi Penjagaan Kesihatan: Peranan Teknologi dan AI sempena Persidangan Kesihatan dan Kesejahteraan Malaysia 2024, baru-baru ini. 

Panel lain, Ketua Pegawai Informasi, TMC Life Sciences Berhad/Thomson Hospital Kota Damansara, G. Saravanan; Pengasas dan Pengarah Angsana Health, Dr. Ginsky Chan di samping Pengurus Besar Perbendaharaan Digital dan Kesihatan TM One, Abdul Halim Abdul Aziz. 

Persidangan sehari itu disempurnakan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Dr. Mohd. Safiee Ismail yang mewakili Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad. 

Hadir sama, Presiden Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik, Tan Sri Michael Yeoh. 

Pada 2019, Kementerian Kesihatan memberi jaminan untuk mempertimbangankan pelaksanaan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) yang dipacu AI di hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara. 

Norhaizam yang juga bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO), KPJ Healthcare Berhad berkata, penggunaan teknologi juga diyakini dapat membantu pesakit lebih berdisiplin dalam pengambilan ubat-ubatan. 

Hal itu kerana, katanya, wujud golongan yang enggan makan ubat dibekalkan doktor walaupun diagnosis berpenyakit. 

“Segelintir pesakit patuh pada janji temu dan kerap datang untuk pemeriksaan tetapi yang peliknya bacaan gula dalam darah masih tinggi.

“Apabila ditanya lanjut, dia memaklumkan hanya menyimpan ubat-ubatan itu dan langsung tidak dimakan, justeru pentingnya penggunaan teknologi canggih termasuk AI untuk mendisiplinkan pesakit tentang kesihatan diri,” katanya. 

 

AI SEMUA BIDANG 

Dalam dunia serba moden kini, katanya, kemudahan itu amat diperlukan untuk semua bidang, bukan hanya industri kesihatan. 

Beliau turut menegaskan yang pelaburan dalam teknologi kesihatan adalah satu kemestian bagi mana-mana pihak. 

“Kesihatan merupakan industri yang kompleks dan penggunaan teknologi dapat memberi manfaat besar kepada semua pihak. 

“Lebih-lebih lagi apabila kini makin ramai pesakit yang berpendidikan tinggi dan bijak serta mahukan penjagaan kesihatan terbaik untuk diri serta keluarga. 

“Penggunaannya bukan sahaja membantu menguruskan pesakit bahkan meringankan bebas petugas kesihatan,” katanya. 

Kejayaan bagi sesuatu teknologi yang diperkenalkan di bidang kesihatan bergantung kepada penggunaan dan sokongan ramai. 

Norhaizam berkata, apabila peralatan atau aplikasi itu digunakan secara meluas maka, tahap kecekapan dan keberkesanannya turut dapat dinilai. 

“Proses beralih kepada teknologi tidak mudah dan banyak cabaran perlu dihadapi, terutama kos yang tinggi mencecah RM10 juta bagi mendapatkan mesin imbasan CT atau pengimejan resonans magnetik (MRI). 

“Impak Covid-19 membuktikan kebaikan pelaburan awal dalam teknologi misalnya perbankan Internet yang telah menjimatkan perbelanjaan termasuk memudahkan urusan seharian rakyat,” katanya. 

Daripada segi pulangan pelaburan penggunaan teknologi dan AI dalam bidang kesihatan, katanya, hasil hanya dapat diukur dalam jangka panjang atau minimum selepas lima tahun pelaksanaan. 

 

ATASI WABAK, PANTAU PESAKIT WARGA EMAS 

Menurut Ginsky, kemudahan teknologi AI berpotensi membantu sesebuah negara mengesan wabak penyakit sebelum menular dalam masyarakat. 

Dalam masa sama, pendekatan itu membolehkan usaha pencegahan diambil dengan lebih awal dan secara efektif. Selain itu, katanya, AI turut membantu menghasilkan imej imbasan MRI atau x-ray yang lebih tepat. Bahkan, ketika ini sudah banyak perisian berkenaan yang dijual di pasaran. 

“Bukan itu sahaja, teknologi AI misalnya menerusi jam pintar, boleh membantu memantau warga emas daripada terjatuh atau ditimpa kecederaan. 

“Ini antara kebaikan AI terhadap penjagaan kesihatan rakyat,” katanya. 

 

TRANSFORMASI KESIHATAN 

Sementara itu, Dzulkefly berkata, inisiatif mentransformasi bidang kesihatan secara digital kini giat dilaksanakan kerajaan. 

Katanya, ia meliputi pelaksanaan AI untuk diagnostik dan pembangunan aplikasi kesihatan mudah alih untuk pemantauan pesakit. Katanya, usaha itu selaras dengan kejayaan alat penilaian risiko Covid-19 semasa pandemik. 

“Saya percaya kemajuan dalam telekesihatan, klinik maya dan pemantauan pesakit boleh merapatkan jurang bandar-luar bandar dan menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses serta berpatutan. 

“Aplikasi MySejahtera dengan 30 juta pengguna merupakan contoh terbaik manfaat teknologi ke arah kesihatan yang lebih baik. 

“Ia bukan sahaja digunakan untuk memantau Covid-19 dan rekod vaksinasi tetapi ia juga bagi rekod imunisasi kanak-kanak dan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×